MENTERI KERJA RAYA TURUN PADANG TINJAU LALUAN FT004 JALAN GERIK–JELI, KELANTAN
JELI, KELANTAN - YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Laluan Jalan Persekutuan FT004, Seksyen 200.00, Jalan Gerik–Jeli, Daerah Jeli, Kelantan bagi meninjau keadaan semasa laluan berkenaan serta memperhalusi perancangan menaiktaraf Lebuhraya Timur–Barat (LRTB).
Lawatan ini merangkumi sesi taklimat dan tinjauan tapak bagi Cadangan Menaiktaraf Lebuhraya Timur–Barat (LRTB) FT004 dari Seksyen 198.40 hingga Seksyen 224.90 di Jeli, Kelantan Darul Naim, iaitu projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), Rolling Plan Pertama (RP1). Projek ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, kapasiti dan keselesaan pengguna jalan raya khususnya di laluan strategik yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Dalam lawatan yang sama, Yang Berhormat Menteri turut meninjau lokasi kejadian lubang benam (sinkhole) di FT004, Seksyen 208.75, Jeli bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung status keselamatan laluan, kerja-kerja pembaikan yang telah dan sedang dilaksanakan serta langkah mitigasi jangka pendek dan panjang bagi mengelakkan kejadian berulang.
YB Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa aspek keselamatan pengguna jalan raya merupakan keutamaan Kementerian Kerja Raya dan tindakan segera serta bersepadu akan terus diambil melalui kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan bagi memastikan laluan FT004 kekal selamat digunakan. Kementerian Kerja Raya komited untuk memastikan pelaksanaan projek infrastruktur dilaksanakan secara terancang, berkualiti dan memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
- Log in to post comments