MENTERI KERJA RAYA TURUN PADANG MELIHAT PERSEDIAAN SYARIKAT KONSESI MENGHADAPI PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MENTERI KERJA RAYA TURUN PADANG MELIHAT PERSEDIAAN SYARIKAT KONSESI MENGHADAPI PERAYAAN HARI RAYA AIDILFITRI

SUNGAI BULOH, 28 MAC 2025 - YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya turun padang bagi meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan syarikat konsesi lebuh raya dalam menghadapi perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. Lawatan kerja ini bertujuan memastikan semua syarikat konsesi berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi peningkatan jumlah trafik yang dijangka sebanyak 2.77 juta kenderaan sehari yang akan menggunakan lebuh raya utama, sekali gus memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan.

Dalam lawatan ini, YB Menteri telah melawat Restoran Jejantas Sg. Buloh, Lebuhraya Utara-Selatan untuk mendengar taklimat persediaan daripada pihak LLM dan syarikat konsesi PLUS Berhad serta melihat sendiri keadaan trafik semasa bagi perjalanan keluar dari ibu kota.

YB Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab dan obligasi terhadap penyelenggaraan demi memastikan perkhidmatan dan kemudahan di lebuh raya dalam keadaan terbaik. Pasukan ronda dan Emergency Response Team (ERT) yang terdiri daripada PDRM, Bomba, LLM, JPJ, PLUS, St. Johns Ambulance dan RELA juga diminta untuk memastikan tempoh tindak balas yang cepat terhadap sebarang insiden di lebuh raya dengan memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan.

Antara langkah persediaan yang telah diambil oleh Syarikat Konsesi Lebuh raya bagi menghadapi peningkatan trafik sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 termasuklah:

1. Menyediakan Cadangan Jadual Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory (TTA))

Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada TTA secara digital melalui aplikasi MyPLUS-TTA oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 manakala TTA oleh pihak AFA Prime bagi perjalanan di Lebuhraya KL - Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

2. Inisiatif Penyuraian Trafik

Terdapat 28 lokasi pengaktifan smart lane di Lebuhraya PLUS bagi membantu menyuraikan trafik di lokasi hotspot kesesakan dan laluan kontra juga akan diaktifkan di Lebuhraya KL-Karak bergantung kepada keadaan dan perkadarantrafik semasa.

3. Pengurusan Kemalangan / Hal Luar Jangka

Pasukan ronda, ERT dan jentera dalam keadaan siap siaga (standby) di lokasi strategik dan kerjasama dengan agensi penyelamat dan PDRM bagi memastikan clearance time dapat dipercepatkan.

4. Pengurusan Plaza Tol dan Kawasan Rehat dan Rawat

• Penambahan kemudahan 66 tandas mudah alih jenis kabin yang lebih selesa serta penambahan parkir sementara.

• Pelaksanaan kutipan tol secara berlapis (Multi Transactional Lane (MTL))

• Tambahan petugas dan penyediaan RELA bagi membantu kelancaran trafik.

YB Menteri juga menyeru penunggang motosikal agar sentiasa fokus ketika menunggang dan peka dengan pengaktifan smart lane di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti serta berhenti berteduh di motorcycle shelter yang telah disediakan apabila cuaca buruk. Sebanyak 472 lokasi motorcycle shelter telah disediakan di sepanjang lebuh raya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0