MENTERI KERJA RAYA RASMIKAN INTERNATIONAL CONSTRUCTION WEEK (ICW) 2025 DAN BUILDXPO MALAYSIA 2025.
KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah merasmikan International Construction Week (ICW) 2025 dan BuildXpo Malaysia 2025 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, bersama barisan kepimpinan tertinggi agensi di bawah Kementerian Kerja Raya serta wakil industri pembinaan tempatan dan antarabangsa.
Penganjuran ICW 2025 yang bertemakan “Constructing the Future of ASEAN” merupakan platform utama industri pembinaan negara bagi menghimpunkan pemain industri tempatan dan serantau untuk bertukar pandangan, memperkenalkan teknologi baharu serta memperkukuh kerjasama strategik dalam memacu masa depan pembinaan yang lebih mampan dan berdaya saing. Acara tahunan anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini turut disertai pameran BuildXpo Malaysia 2025 yang mempamerkan pelbagai produk, perkhidmatan dan inovasi terkini dalam sektor pembinaan.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa sektor pembinaan perlu terus beradaptasi dengan teknologi baharu, amalan lestari serta peningkatan kecekapan tenaga bagi memastikan daya saing negara kekal kukuh selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam pembangunan infrastruktur mampan di rantau ASEAN. Beliau turut menyeru semua pihak industri agar bersama-sama mendukung agenda transformasi pembinaan negara berasaskan digitalisasi dan kelestarian.
Sebelum meninggalkan majlis, YB Menteri turut mengadakan sidang media bagi menjelaskan hala tuju strategik Kementerian Kerja Raya dalam memperkukuh pelaksanaan projek infrastruktur rakyat serta inisiatif mempercepatkan penggunaan teknologi hijau dan digital dalam industri pembinaan negara.
International Construction Week (ICW) mula diperkenalkan pada tahun 1998, dan edisi tahun 2025 merupakan penganjuran kali ke-27 oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Sejak penganjurannya, ICW telah menjadi acara terbesar industri pembinaan di rantau ini yang menggabungkan seminar, persidangan serta pameran antarabangsa melibatkan ratusan peserta dan pempamer dari dalam dan luar negara.
- Log in to post comments