MENERAJUI PENYAMPAIAN, MENGHUBUNGKAN MASA DEPAN: KOMITMEN KKR MEMASTIKAN INFRASTRUKTUR BERKUALITI UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MENERAJUI PENYAMPAIAN, MENGHUBUNGKAN MASA DEPAN: KOMITMEN KKR MEMASTIKAN INFRASTRUKTUR BERKUALITI UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT

SIK, KEDAH - Komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memastikan setiap projek infrastruktur negara dilaksanakan dengan cemerlang diteruskan melalui Lawatan Turun Padang (TURPA) oleh YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR ke Projek Menggantikan Jambatan FT175/037/72, Sik, Kedah.

Lawatan ini merupakan manifestasi kepimpinan berasaskan management by walking around, di mana pemantauan secara langsung di tapak dilaksanakan bagi menilai kemajuan projek, mengenal pasti cabaran pelaksanaan serta menyelaras tindakan penyelesaian secara pantas dan berkesan. Pendekatan ini memperkukuh tadbir urus projek, meningkatkan kebertanggungjawaban semua pihak terutamanya Pegawai Penguasa (PP) dan kontraktor serta memastikan setiap keputusan yang dibuat berasaskan realiti di lapangan.

Dalam sesi lawatan dan pemeriksaan tapak, YBhg. Dato' Seri KSU menegaskan bahawa obligasi kontrak oleh pihak kontraktor terutamanya aspek pekerja, bahan, dan mesin/jentera hendaklah dipenuhi serta dipantau oleh PP bagi memastikan projek tersebut benar-benar dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan. Selain itu, kejayaan sesebuah projek bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, malah melalui keupayaannya disiapkan mengikut skop, kos, kualiti tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan, integriti dan nilai untuk wang (value for money).

Projek penggantian jambatan ini merupakan pelaburan strategik Kerajaan MADANI dalam memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta menjamin akses yang lebih lancar kepada masyarakat setempat. Apabila siap kelak, jambatan baharu ini akan menjadi pemangkin kepada mobiliti yang lebih efisien, pertumbuhan ekonomi tempatan dan kesejahteraan komuniti di Sik serta kawasan sekitarnya.

KKR akan terus memperkukuh budaya Delivery Excellence, mempercepat penyelesaian isu di lapangan serta mengoptimumkan kerjasama antara agensi pelaksana dan pihak berkepentingan. Setiap projek yang dilaksanakan adalah amanah kepada rakyat dan menjadi bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan infrastruktur yang selamat, berdaya tahan, mampan dan memberi impak jangka panjang kepada pembangunan negara.

"Setiap lawatan ke tapak bukan sekadar memantau kemajuan projek, tetapi memperbaharui iltizam untuk memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan diterjemahkan kepada manfaat yang sebenar untuk rakyat."

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3