MCMC DAN LLM PERKUKUH KERJASAMA PERLUAS LIPUTAN INTERNET DI LEBUH RAYA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MCMC DAN LLM PERKUKUH KERJASAMA PERLUAS LIPUTAN INTERNET DI LEBUH RAYA

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan infrastruktur komunikasi di sepanjang lebuh raya negara, selaras dengan aspirasi “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet”.

Majlis pertukaran MoU disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam mempercepat transformasi digital negara.

Melalui kerjasama ini, MCMC dan LLM akan membangunkan infrastruktur komunikasi di kawasan liputan lemah atau blind spot di sepanjang lebuh raya, termasuk menerusi penggunaan kawasan rizab lebuh raya (Right of Way). Inisiatif ini dijangka meningkatkan akses kepada komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi, maklumat trafik masa nyata serta pelbagai perkhidmatan digital bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar.

Sebagai langkah awal, MCMC telah mengeluarkan pelawaan pada 15 Mei 2026 untuk menambah baik liputan Internet di 10 lebuh raya di bawah seliaan LLM yang dikenal pasti mempunyai isu liputan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Terowong Menora dan Gua Tempurung.

Kerjasama ini turut menyokong pelaksanaan teknologi mobiliti masa hadapan seperti Multi-Lane Fast Flow (MLFF), sistem pengangkutan pintar dan aplikasi Internet Kebendaan (IoT) yang memerlukan rangkaian komunikasi yang stabil dan berdaya tahan.

MoU telah ditandatangani oleh Pengerusi MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM, YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad. Kerjasama ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan manfaat pembangunan digital dapat dinikmati rakyat melalui jaringan komunikasi yang lebih inklusif di sepanjang lebuh raya negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4