MAJLIS PERASMIAN SESI DISKUSI MEJA BULAT: TATAKELOLA PELAKSANAAN PROJEK (MITIGASI PEMBAYARAN DI BAWAH ARAHAN PERBENDAHARAAN 59) SIRI 3 TAHUN 2025 (ZON SARAWAK)
KUCHING – Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) melalui Bahagian Kewangan, Cawangan Kemudahan, Elaun dan Pelbagai hari ini menganjurkan Sesi Diskusi Meja Bulat: Tatakelola Pelaksanaan Projek (Mitigasi Pembayaran di bawah Arahan Perbendaharaan 59) Siri 3 Tahun 2025 Zon Sarawak bertempat di Hotel Imperial, Kuching.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan pelaksanaan projek secara berintegriti, telus serta mematuhi tatakelola kewangan yang ditetapkan di bawah Arahan Perbendaharaan 59. Beliau turut menyeru agar semua agensi pelaksana dan pihak berkepentingan dapat memperkukuh kerjasama serta melaksanakan projek pembangunan dengan penuh tanggungjawab demi manfaat rakyat.
Program ini merupakan kesinambungan siri diskusi yang dilaksanakan di beberapa zon sebelum ini, dengan tujuan utama meningkatkan kefahaman, pematuhan serta pelaksanaan tatakelola kewangan yang lebih berkesan dalam projek-projek di bawah kementerian. Melalui sesi diskusi ini, para peserta akan didedahkan dengan kaedah mitigasi serta langkah-langkah praktikal bagi memastikan pengurusan pembayaran selaras dengan Arahan Perbendaharaan 59.
Siri diskusi ini juga berfungsi sebagai platform libat urus di antara pihak kementerian, agensi pelaksana, serta pemegang taruh lain dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi dalam konteks pengurusan projek. Dengan adanya ruang perkongsian ilmu dan pengalaman ini, KKR yakin segala isu berkaitan kelewatan pembayaran dan pelaksanaan projek dapat ditangani secara lebih berkesan.
Penganjuran siri ketiga di Zon Sarawak ini menegaskan komitmen KKR untuk memastikan penyampaian projek pembangunan negara dilaksanakan secara telus, berintegriti, serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
- Log in to post comments