Majlis Perasmian Penutup Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025
JOHOR BAHRU - Majlis Perasmian Penutup Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini, sekaligus menandakan penutupan rasmi penganjuran tahunan yang menghimpunkan komuniti teknikal dari seluruh negara. Upacara penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dalam memartabatkan profesion teknikal negara.
Dalam majlis tersebut, YB. Timbalan Menteri telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Johor selaku tuan rumah HPTN 2025. Sijil penghargaan turut diberikan kepada pempamer platinum dan rakan strategik yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran edisi tahun ini.
Sebagai simbolik penutupan, YB. Timbalan Menteri turut menyempurnakan sesi cabutan bertuah bagi hadiah-hadiah utama. Hadiah tempat pertama bagi cabutan bertuah HPTN 2025 pada tahun ini ialah sebuah skuter elektrik, sekaligus menambah kemeriahan majlis penutup berkenaan.
Dengan berakhirnya acara ini, HPTN 2025 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama menghimpunkan kepakaran teknikal, memupuk jaringan strategik, serta merangsang pembangunan inovasi dalam sektor teknikal negara.
- Log in to post comments