MAJLIS PERASMIAN “FLAG OFF” CIDB HALF MARATHON 2025
PUTRAJAYA – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia melalui Kelab CIDB Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya hari ini telah menganjurkan CIDB Half Marathon 2025 bertempat di Dataran Putrajaya, sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penggiat industri pembinaan.
Majlis perasmian dan pelepasan larian telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan CIDB dalam memupuk kesejahteraan fizikal serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga industri pembinaan. Turut hadir YBhg. Dato' Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan Kementerian Kerja Raya, Pn. Zainora Zainal, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj).
CIDB Half Marathon 2025 turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan peserta termasuk warga industri, agensi kerajaan serta orang awam. Program ini bukan sahaja memberi fokus kepada kecergasan dan kesihatan, malah berperanan sebagai platform mempererat hubungan strategik antara pemain industri pembinaan dan pihak berkepentingan.
CIDB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Putrajaya serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penganjuran CIDB Half Marathon 2025.
- Log in to post comments