MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN BAHARU HOSPITAL SEBERANG JAYA, PULAU PINANG
SEBERANG PERAI – YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, telah merasmikan Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya hari ini. Perasmian ini menandakan satu pencapaian penting Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara, khususnya bagi penduduk Seberang Perai dan Pulau Pinang amnya.
Turut hadir ialah YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan; YB Tuan Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Operasi; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; serta YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.
Pembinaan Bangunan Multistorey Hospital Seberang Jaya ini merupakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), Rolling Plan 2, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM371 juta. Projek ini melibatkan keluasan tanah 3.26 ekar, keluasan binaan 45,415 meter persegi serta merangkumi bangunan setinggi sembilan (9) tingkat.
Projek ini bermula pada 16 Mei 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 12 April 2025, sebelum mula beroperasi secara berperingkat pada 5 Mei 2025. Walaupun berdepan pelbagai cabaran pelaksanaan termasuk dalam tempoh pandemik COVID-19, projek ini berjaya direalisasikan hasil komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan serta kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kerja Raya, dengan pemantauan rapi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Kementerian Kerja Raya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Projek Khas 1, Head of Project Team (HOPT) dan Head of Design Team (HODT), Jabatan Kerja Raya Malaysia atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan projek ini.
Hospital Seberang Jaya yang mula beroperasi pada 1 April 1995 dikategorikan sebagai Hospital Jenis 2 (Hospital Pakar Major) dan berfungsi sebagai Hospital Utama bagi Hospital Kluster Seberang Perai. Melalui pembinaan bangunan baharu ini, kapasiti keseluruhan katil hospital telah meningkat daripada 413 katil kepada 729 katil, sekali gus memperkukuh keupayaan hospital dalam memenuhi keperluan rawatan yang semakin meningkat.
Pembangunan fasiliti ini bukan sahaja menambah ruang rawatan, malah menyokong aliran perkhidmatan pesakit yang lebih terancang dan efisien, di samping menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat, selesa dan kondusif kepada warga hospital. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh, mampan dan berteraskan nilai ihsan demi kesejahteraan.
- Log in to post comments