MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP DAIF PAHANG (2023), PEMBINAAN SEMULA BANGUNAN DAIF DI SEKOLAH KEBANGSAAN (FELDA) KOTA GELANGGI 1, JERANTUT | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK SIAP DAIF PAHANG (2023), PEMBINAAN SEMULA BANGUNAN DAIF DI SEKOLAH KEBANGSAAN (FELDA) KOTA GELANGGI 1, JERANTUT

KOTA GELANGGI - Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia, telah menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Daif Pahang (2023), Pembinaan Semula Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (Felda) Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang (CBA2042) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (Felda) Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang. 

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta pegawai-pegawai kanan daripada KPM, Kementerian Kerja Raya (KKR), dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. 

Projek ini dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selamat, selesa dan kondusif kepada murid-murid serta warga sekolah, khususnya dalam memastikan bangunan sekolah yang daif dapat digantikan dengan kemudahan yang lebih sesuai untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. 

Projek ini mempunyai nilai kontrak asal sebanyak RM7.759juta (RM7,759,613.00), manakala nilai kontrak semasa adalah sebanyak RM7.998juta (RM7,998,007.26). Projek telah bermula pada 13 Januari 2025 dan pada asalnya dijadualkan untuk siap pada 2 Mei 2027. Namun demikian, kontraktor utama iaitu Zalwan Engineering Sdn. Bhd., telah berjaya menyiapkan projek ini pada 26 Jun 2026, iaitu 310 hari lebih awal daripada tarikh siap asal. 

Pencapaian ini merupakan satu perkembangan positif dalam pelaksanaan projek Kerajaan dan mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat, termasuk KKR, JKR Malaysia, serta pihak kontraktor dalam memastikan penyampaian projek kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan. Penyiapan projek lebih awal ini membolehkan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh murid-murid sekolah rendah serta guru dan warga sekolah lebih awal, sekali gus mewujudkan persekitaran persekolahan yang lebih selamat, selesa dan kondusif. 

KKR melalui JKR Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan projekprojek infrastruktur awam yang berkualiti, khususnya kemudahan pendidikan, dengan memberi penekanan kepada aspek kualiti, keselamatan, pematuhan spesifikasi serta tempoh pelaksanaan yang ditetapkan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, inklusif dan kelestarian dalam membentuk masyarakat berilmu, progresif, dan berdaya saing. 

Pelaksanaan projek seperti ini juga selaras dengan usaha Kerajaan untuk memastikan kemudahan asas pendidikan yang berkualiti dapat disediakan secara berterusan demi menyokong pembangunan modal insan dan memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih baik kepada generasi muda.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6