MAJLIS PENYERAHAN PROJEK DAN SURAT SETUJU TERIMA (SST) PROGRAM CAKNA MADANI: MENAIKTARAF INFRASTRUKTUR KESELAMATAN JALAN RAYA TAHUN 2026
KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Cakna MADANI: Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya Tahun 2026 melibatkan Program Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (Blackspot) Fasa 1 dan Fasa 2 serta Program Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI).
Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan jalan raya melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi yang dapat disiapkan dalam tempoh singkat, sekali gus memastikan manfaatnya dinikmati rakyat dengan segera.
Sejak 2021 hingga 2025, sebanyak 342 lokasi Blackspot telah dinaik taraf dengan peruntukan berjumlah RM118.5 juta, manakala 154 lokasi LPKSI telah dibina sejak 2018 dengan kos keseluruhan RM39.79 juta.
Bagi tahun 2026, kerajaan meluluskan pelaksanaan 94 projek di seluruh Semenanjung Malaysia melibatkan 77 lokasi Blackspot bernilai RM27.85 juta dan 17 lokasi LPKSI bernilai RM5.2 juta, yang akan memberi manfaat kepada 11 negeri dan 36 daerah.
Pada majlis tersebut, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut menyerahkan SST kepada 32 kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan Program Blackspot Fasa 2, selain memberikan penghargaan kepada kontraktor yang berjaya menyiapkan projek Blackspot Fasa 1 dan LPKSI mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.
Dalam ucapannya, YB Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya kekal menjadi keutamaan kerajaan. Beliau turut mengingatkan semua kontraktor agar melaksanakan projek dengan penuh integriti, profesionalisme dan komitmen bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memperkukuh keselamatan Jalan Persekutuan melalui penyediaan infrastruktur yang lebih selamat, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat, di samping merancakkan ekonomi tempatan menerusi penglibatan kontraktor serta penyedia perkhidmatan tempatan.
- Log in to post comments