Majlis Penutup 12th Malaysian Road Conference & 5th IRF Asia Pacific Regional Congress | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Penutup 12th Malaysian Road Conference & 5th IRF Asia Pacific Regional Congress

Kuala Lumpur, 7 November 2024 – Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM), dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan CIDB Malaysia, telah berjaya menganjurkan edisi ke-12 Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia (MRC) 2024, yang berlangsung dari 5 hingga 7 November 2024. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sepanjang persidangan ini, sebanyak 106 kertas kerja, termasuk 30 pembentangan poster, dikongsikan oleh pakar tempatan dan antarabangsa dalam 10 sub-bidang kejuruteraan jalan raya. Dengan Kongres Asia Pasifik IRF ke-5 yang diadakan serentak, acara ini memberikan perspektif global yang menggalakkan jaringan kerjasama serta peluang perkongsian ilmu. Seramai 1,000 peserta dari dalam dan luar negara telah hadir dan mendapat manfaat daripada pembentangan inovasi serta teknologi terkini.

Antara inisiatif utama yang diusahakan ialah Memorandum Persefahaman (MoU) antara Infra Water dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PPKM) yang bertujuan memfasilitasi pemindahan teknologi bagi pembinaan model tebatan banjir, ramalan banjir, serta sistem amaran banjir bersepadu menggunakan Internet of Things (IoT). Usaha ini bertujuan untuk mengurangkan kesan banjir ke atas jalan raya, mencegah kerosakan infrastruktur, dan meningkatkan keselamatan jalan raya ketika banjir. Projek ini akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta, dengan pelaksanaan teknologi yang dijadualkan dalam masa terdekat, selaras dengan musim hujan negara.

Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan REAM mengiktiraf projek jalan raya terbaik di Malaysia. Dalam kategori Projek Bernilai Lebih RM100 Juta, Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) oleh Syarikat Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai pemenang. Laluan 20.7 km ini terdiri daripada empat seksyen utama dan diiktiraf atas impaknya dalam mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kecekapan jalan raya di Kuala Lumpur. SPE turut mencatat dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu Lebuh Raya Bertingkat Dua Terpanjang pada Struktur Tiang Tunggal (Arah Berkembar) 2.104 km dan Landasan Jambatan Terpanjang yang Ditinggikan 20.686 km.

Invention and Innovation Exhibition (MRC-IIE 2024), turut diadakan sebagai platform kepada perekacipta dan inovator di kalangan universiti dan pihak industri untuk berkongsi idea dan teknologi bagi meningkatkan kualiti jalan raya dan lebuh raya di Malaysia. Sebanyak 18 produk telah diiktiraf sebagai pemenang pingat emas.

Selain itu, REAM meneruskan komitmen bagi profesional muda melalui Sesi Jurutera dan Profesional Muda (REAM YEP) yang membincangkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam kejuruteraan jalan raya serta memperkenalkan pertandingan reka bentuk jalan menggunakan BIM Modelling bertaraf LOD2000.

Dengan pelbagai inovasi dan kolaborasi strategik yang diketengahkan, Persidangan Jalan Malaysia (MRC) 2024 diharap dapat terus memberi impak dalam memajukan infrastruktur jalan raya yang lebih mampan, selamat, dan efisien. Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk menjadi peneraju dalam teknologi dan keselamatan jalan raya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6