MAJLIS PECAH TANAH PROJEK SAMBUNGAN LEBUHRAYA BARU PANTAI (NPE 2) TANDA KERJA PEMBINAAN DIMULAKAN
KUALA LUMPUR – Tengah hari tadi YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) menandakan permulaan pembinaan projek bernilai RM1.7 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn. Bhd. (NPE), anak syarikat IJM Corporation Berhad, tanpa sebarang peruntukan kewangan daripada Kerajaan.
Projek NPE 2 sepanjang 15 kilometer ini bakal menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam sedia ada ke Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra. Ia turut menjadi sebahagian daripada Kuala Lumpur Traffic Master Plan 2040, bertujuan memperkukuh jaringan pengangkutan bandar dengan menyambungkan lebuh raya NPE, BESRAYA dan LIKE, sekali gus mengurangkan sehingga 40% aliran trafik dari Bangsar menuju pusat bandar Kuala Lumpur.
Lebuh raya pintar ini turut dilengkapi dengan:
• Sistem tol Multi-Lane Fast Flow (MLFF) bagi transaksi tanpa henti,
• Pemantauan CCTV bersepadu dan lampu pintar kawalan berpusat,
• Kemudahan “lay-by” baharu dengan surau, tandas dan pengecasan kenderaan elektrik (EV), serta
• Susur baharu bertingkat yang meningkatkan akses ke Plaza Tol Pantai Dalam dan Jalan Syed Putra.
Hadir sama YBhg. Dato’ Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya;
YBhg. Tan Sri Dato’ Krishnan Tan, Pengerusi IJM Corporation Berhad; YBhg. Dato’ Lee Chun Fai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad;
YBrs. Ir. Ts. Dr. Nadzrol Fadzilah binti Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Lembaga Lebuhraya Malaysia; YBhg. Datuk Chua Tee Yong, Ahli Lembaga, Lembaga Lebuhraya Malaysia; serta YBrs. Puan Chua Lay Hoon, Ketua Pegawai Operasi, Divisyen Tol IJM.
Projek NPE 2 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dan sektor swasta dalam menyediakan infrastruktur moden, lestari dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
- Log in to post comments