Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jalan Akses Ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri 4 Tahun 2021
KUCHING, 13 NOVEMBER 2021 – Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembinaan Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri 4 bagi tahun 2021 telah berlangsung di Kuching hari ini, dihadiri dan disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.
Projek Pembinaan Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Kuching, Sarawak merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Rolling Plan 3 yang diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia sebagai Kementerian Pelanggan. Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dilantik sebagai Agensi Pelaksana dan turut berperanan sebagai Pengurus Program. Manakala penyeliaan pada peringkat pembinaan telah diserahkan kepada JKR Sarawak selaku Pegawai Penguasa.
Matlamat utama pelaksanaan projek ini adalah untuk menyediakan penyuraian trafik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta kawasan sekitarnya yang kini pesat membangun. Antara pembangunan sekitar yang akan menikmati keselesaan jalan baharu ini termasuklah kawasan perumahan, institusi-institusi pendidikan tinggi, sekolah, pusat pentadbiran dan kawasan perindustrian. Pembinaan jalan baharu ini juga akan dapat memberikan satu jaringan jalan raya yang lebih baik di samping menjimatkan masa perjalanan terutama kepada pengguna jalan raya daripada daerah Padawan, Serian dan Samarahan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Projek ini telah diberi milik tapak kepada kontraktor yang berjaya iaitu Reka Ikhtiar Sdn. Bhd. pada 2 Ogos 2021 dengan harga sebanyak RM112.9 juta. Tempoh penyiapan projek adalah selama 36 bulan dengan jangkaan tarikh siap pada 1 Ogos 2024. Skop projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu dengan perincian seperti berikut:
1. Membina jalan baharu 4 lorong 2 hala dari T-Junction Stutong ke T-Junction Stampin (1km) dan seterusnya 2 lorong 2 hala dari T-Junction Stampin ke T- Junction Bukit Berangan (5.2Km) dengan piawaian U5, JKR Standard;
2. Membina jalan baharu 2 lorong 2 hala dari T-Junction Stampin ke T-Junction Sg Tapang (1.7Km) dengan piawaian U5, JKR Standard;
3. Membina T-Junction Stampin dan T-Junction Sg. Tapang serta menaiktaraf T- Junction Stutong;
4. Membina tiga (3) buah jambatan konkrit 2 lorong 2 hala merentasi Sg Kuap, Sg Stampin dan Sg Sangkoh;
5. Membina satu (1) underpass untuk merentasi kawasan Lapangan Terbang;
6. Pengambilan Tanah dan Pengalihan Utiliti; dan
7. Pemasangan lampu jalan.
Sementara itu, pada acara sama turut diadakan Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri Keempat Tahun 2021. Hasil daripada peringkat saringan ini, sebanyak 117 kontraktor penyiap telah berjaya diiktiraf sebagai kontraktor penyiap yang akan berpeluang untuk menyertai pelawaan perolehan secara tender terbuka bagi projek-projek sakit oleh semua Agensi Kerajaan.
Sewaktu Pra Kelayakan Siri Keempat Kontraktor Penyiap yang dibuka bermula 6 April 2021 hingga 24 Mei 2021 sebanyak 339 permohonan kontraktor telah diterima. Kesemua kontraktor penyiap perlu melepasi tiga (3) peringkat saringan dan seterusnya dinilai berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memantau prestasi kontraktor penyiap melalui pematuhan kriteria yang ditetapkan selain bebas daripada sebarang projek sakit dan tindakan tatatertib. Sijil pengiktirafan yang diberikan kepada kontraktor terbabit akan ditarik balik serta-merta sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.
- Log in to post comments