MAJLIS PECAH TANAH DAN PENYERAHAN PROJEK SIAP DI DAERAH PONTIAN, JOHOR
PONTIAN - Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia telah merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Dan Penyerahan Projek Siap di Pontian, Johor. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya
merangkap Ahli Parlimen Pontian bersama YBhg. Dato’ Sri Ir. Roslan Bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya.
Penyerahan SST adalah bagi Projek Menaik Taraf Dan Pelebaran Jambatan Pontian Besar (FT005), Pontian, Johor yang melibatkan tempoh pelaksanaan projek selama 36 bulan mulai pada 13 Januari 2026. dan dijadualkan siap pada bulan Januari 2029 dengan kos bernilai RM38.04juta.
Projek ini melibatkan kerja pelebaran jambatan dari dua (2) lorong dua (2) hala kepada empat (4) lorong dua (2) hala serta kerja menaik taraf persimpangan. Pelaksanaan projek ini dijangka bakal melancarkan aliran trafik, di samping menyediakan laluan yang selesa buat pengguna jalan raya.
Manakala projek siap yang diserahkan adalah Projek Menggantikan Jambatan FT005/053/50 Sg. Pontian Kechil, Pontian, Johor. Projek ini merupakan salah satu projek yang diluluskan di bawah Program Penggantian Jambatan Yang Melibatkan Axle Load, Sempit Dan Uzur Di Negeri Johor di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-11 (RP4, RMKe-11) dengan kos RM23.13juta.
Projek yang dilaksanakan secara konvensional dalaman oleh JKR Malaysia ini mula dibina pada 31 Januari 2022 dan disiapkan sepenuhnya pada 25 Januari 2026.
Projek penggantian jambatan ini melibatkan kerja pertambahan lorong iaitu dari dua (2) lorong dua (2) hala kepada empat (4) lorong dua (2) hala. bagi memenuhi penyediaan insfrastruktur jalan raya yang efisien, khususnya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen pihak Kerajaan dalam memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya diutamakan dengan menaiktaraf infrastruktur jalan sedia ada terutama jambatan yang telah uzur, sempit dan berisiko.
KKR dan JKR akan terus komited dalam memperkukuhkan infrastruktur jalan raya bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kelancaran trafik sentiasa ditingkatkan.
Pelaksanaan projek-projek ini, khususnya di daerah Pontian menunjukkan keutamaan Kerajaan dalam menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan berkualiti demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi setempat.
- Log in to post comments