Majlis Apresiasi Budi dan Bakti KKR 2021
Majlis Apresiasi Budi dan Bakti KKR 2021
KUALA LUMPUR, 16 NOVEMBER 2021 - Majlis Apresiasi Budi dan Bakti Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi tahun 2021 diadakan bagi meraikan sumbangan dan bakti Warga Kerja Raya untuk tahun 2021. Majlis yang diadakan di Dewan Tanjung, Kompleks Kerja Raya ini dihadiri Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof yang turut menyampaikan ucaptama.
Seramai 12 orang pesara dan bakal pesara telah dirai termasuk YBhg. Datuk Dr. Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha KKR. Ada di kalangan pesara yang telah berkhidmat hampir 40 tahun dalam perkhidmatan awam.
Turut diingati ialah tiga orang Warga Kerja Raya yang telah meninggal dunia dalam perkhidmatan iaitu Allahyarhamah Salina binti Ahmad, Allahyarham Hashaluddin bin Sutan Ahmad Nawi dan Allahyarham Zakuan bin Abdullah, serta seorang pegawai yang telah dibersarakan atas sebab kesihatan, Puan Norashinita binti Ahmad.
Pada majlis hari ini juga, turut disampaikan Sijil Penghargaan kepada Pasukan Khidmat Pengurusan Jenazah, Surau KKR dan JKR atas sumbangan dan bakti memberikan perkhidmatan percuma kepada waris yang tidak berkemampuan dalam menguruskan jenazah.
Skuad di bawah penyelaras YBhg. Dato’ Zahrul Hakim ini juga telah membantu mengebumikan mangsa Covid -19 mulai 23 Jun 2021 serta turut menyampaikan sumbangan kit perlindungan diri (PPE) kepada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia.
- Log in to post comments