Majlis Amanat Tahun 2021 Dan Pelancaran Pelan Strategik Organisasi KKR
Majlis Amanat Tahun 2021 Dan Pelancaran Pelan Strategik Organisasi KKR
KUALA LUMPUR, 29 JANUARI 2021 - Majlis Amanat Tahun 2021 dan Pelancaran Pelan Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya (PSO KKR) 2021 – 2025 telah diadakan secara maya melalui akaun rasmi facebook kementerian. Ini merupakan norma baharu dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19.
YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya telah menyampaikan amanat dan melancarkan PSO KKR 2021 – 2025. Antara perkara yang disentuh dalam ucapan adalah pengumuman oleh Kerajaan bagi merancakkan kembali ekonomi negara seperti Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), PRE PRIHATIN dan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Selain itu, perkembangan positif sektor pembinaan mula dilihat pada suku keempat 2020 dimana sehingga Disember 2020, sebanyak 98% tapak bina di seluruh negara telah beroperasi semula sepenuhnya.
Bagi penyenggaraan jalanraya, sebanyak 46 lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspots) di seluruh negara telah dirawat dan dibuat penambahbaikan sepanjang tahun lalu. Pelancaran semula Program Aku Janji Zero Potholes pada 3 Julai 2020 pula memfokuskan kerja-kerja penampalan jalan berlubang dilaksanakan dalam tempoh masa 24 jam secara sementara dan pembaikan kekal dalam tempoh 3 hari. Pada tahun 2020, sebanyak 168,000 potholes telah ditampal oleh konsesi.
Menyentuh berkaitan pemantapan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan, Pelan Anti Rasuah KKR 2021-2025 telah dilancarkan pada 24 November 2020. Disamping itu, KKR telah membangunkan beberapa dasar baharu jangka panjang sebagai panduan dan halatuju jelas untuk industri pembinaan negara iaitu Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) dan Dasar Pembangunan Jalan Raya dan Lebuh Raya 2030 (DPJL 2030), yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Kementerian ini juga telah menyiapkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya atau Highway Network Development Plan 2030 (HNDP 2030) yang menjadi rujukan utama semua Kementerian, Agensi Pusat dan Kerajaan Negeri untuk perancangan projek pembangunan rangkaian jalan raya bagi RMK-12, RMK-13 dan seterusnya.
PSO KKR 2021 – 2025 yang dilancarkan, memfokuskan kepada usaha industri pembinaan dalam pemulihan semula ekonomi Malaysia ke arah merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Terdapat empat teras strategik utama iaitu Memperkukuh pembangunan infrastruktur dan keterangkuman wilayah, Memperluas penggunaan teknologi digital dalam pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur, Memperkasakan kapasiti dan kebolehan serta daya saing industri pembinaan dan Memantapkan tadbir urus organisasi untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Teras-teras strategik ini disokong oleh strategi-strategi dan pelan-pelan tindakan yang akan sentiasa disusuli dengan pemantauan dan penilaian supaya sentiasa selari dengan aspirasi kementerian dan Kerajaan secara amnya.
- Log in to post comments