Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Media Sarawak
KUCHING, 3 SEPTEMBER 2022 – YB Dato Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya telah mengadakan sesi libat urus bersama 250 pengamal media di Sarawak bagi berkongsi visi dan misi Kementerian dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga pembangunan infrastruktur kepada Keluarga Malaysia di negeri Sarawak khususnya.
Turut hadir ialah YBhg. Dato' Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya dan Ketua-ketua Pengarah Agensi. Dato’ Wira KSU juga telah menyampaikan taklimat kepada tetamu yang hadir dalam majlis yang berlangsung di Hotel Waterfront, Kuching.
Antara intipati taklimat adalah berhubung pembangunan infrastruktur di negeri Sarawak seperti status kemajuan kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB). Anggaran kos projek pembangunan di Sarawak di bawah KKR adalah sebanyak RM1.636 bilion.
Turut dikongsikan adalah kerja-kerja penyenggaraan jalan persekutuan di Sarawak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM88.3 juta untuk kerja-kerja Penyenggaraan rutin, penyenggaraan berkala pavemen, penyenggaran berkala bukan pavemen, penyenggaraan jambatan, penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat.
Berkenaan Kempen Zeropothole KKR atau Kempen Sifar Lubang KKR yang bermula pada tahun2016, untuk rekod sehingga Ogos 2022 sejumlah 3,467 bilangan pothole atau lubang jalan raya di Jalan Persekutuan negeri Sarawak telah ditampal dalam tempoh masa 24 jam selepas ditemui.
- Log in to post comments