LAWATAN TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE AKADEMI BINAAN MALAYSIA WILAYAH TIMUR.
KUALA BERANG, TERENGGANU - YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya harini mengadakan lawatan ke Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur di Jenagor, Kuala Berang, Terengganu. Lawatan ini turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Puan Zainora binti Zainal, bersama barisan pegawai-pegawai Kementerian Kerja Raya, Pengurusan tertinggi CIDB serta Kumpulan CIDB Holdings.
Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) dan anak syarikatnya iaitu Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur serta CIDB Technologies (CIDB Tech) Wilayah Timur di Terengganu menganjurkan Pertandingan Pencarian Bakat Refrigeration and Air-Conditioning (RAC) yang bertujuan mencari dan mengasah bakat baharu dalam bidang penyaman udara dan penyejukan, yang merupakan antara bidang kemahiran kritikal dalam industri pembinaan dan perkhidmatan teknikal.
Menurut statistik sehingga Disember 2024, ABM Wilayah Timur telah melatih seramai 43,764 pelatih dalam program-program belia dan personel binaan. Manakala CIDB Technologies pula merekodkan seramai 10,295 pelatih dalam bidang-bidang berimpak tinggi seperti pemasangan perancah (scaffold), kimpalan (welding), gas pipe fitter, gas pipe insulation dan mechanical fitter.
“Hari ini kita merasa sangat bertuah kerana saya dimaklumkan bahawa ABM Timur sedang menjadi Tuan Rumah bagi Pertandingan Khas Bidang Refrigeration & Air Conditioning (RAC) yang bertujuan mencari peserta muda yang berpotensi dan berkemahiran tinggi untuk mewakili negara Malaysia ke pertandingan Worldskills peringkat Asia di Chinese Taipei pada bulan November 2025 nanti,” ujar Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya.
- Log in to post comments