LAWATAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KERJA RAYA KE TAPAK PROJEK BERIMPAK TINGGI NEGERI JOHOR PROJEK MENAIKTARAF LEBUHRAYA SENAI–DESARU (SDE) DARI JAMBATAN SUNGAI JOHOR SEHINGGA SUNGAI SEMENCHU
SENAI, JOHOR - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, hari ini bersama-sama dengan Dato' Ir Sazali Bin Harun, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengadakan lawatan tapak ke Projek Menaiktaraf Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) dari Jambatan Sungai Johor sehingga Sungai Semenchu, salah satu projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Negeri Johor.
Lawatan ini bertujuan meninjau kemajuan fizikal projek, memastikan pematuhan terhadap spesifikasi teknikal, serta menilai langkah-langkah mitigasi keselamatan dan kelancaran trafik yang sedang dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan. YBhg. Dato’ Seri KSU turut menerima taklimat komprehensif mengenai status semasa, cabaran pelaksanaan serta inisiatif penambahbaikan yang dirancang oleh pihak pelaksana projek.
Projek menaiktaraf SDE ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan mobiliti di kawasan Iskandar Timur dan wilayah pesisir Kota Tinggi, selain meningkatkan kecekapan laluan strategik yang menghubungkan pusat pertumbuhan ekonomi dengan kawasan industri, pelancongan serta penempatan utama di Johor.
KKR akan terus memberi tumpuan terhadap aspek penyampaian projek, khususnya dari segi kualiti, keselamatan dan kesinambungan jangka panjang, bagi memastikan manfaat peningkatan infrastruktur ini dapat dinikmati oleh rakyat serta menyokong pembangunan sosioekonomi Negeri Johor.
- Log in to post comments