LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK PEMBINAAN TABIKA KEMAS PEKAN JUASSEH, KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK PEMBINAAN TABIKA KEMAS PEKAN JUASSEH, KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN

KUALA PILAH - YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, hari ini telah mengadakan Lawatan Kerja ke Projek Pembinaan TABIKA KEMAS Pekan Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Projek pembangunan ini melibatkan pembinaan baharu sebuah blok bangunan akademik setingkat, blok penyediaan makanan, pondok wakaf, taman permainan serta kemudahan lain yang akan menyokong persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.

Dengan nilai kontrak sebanyak RM1.5 juta, projek ini dijadualkan siap pada 4 April 2027 dan kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 30 peratus.

Pembangunan TABIKA KEMAS Pekan Juasseh bertujuan menyediakan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti bagi melahirkan generasi yang memiliki kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), di samping membentuk kanak-kanak yang berdikari, kreatif serta inovatif.

Projek di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ini telah diluluskan peruntukan pembangunan menerusi Rancangan Pusingan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Tahun 2024 dan pelaksanaannya dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan.

Tapak projek ini terletak di atas sebahagian tanah seluas 2,335 meter persegi di Lot 6056, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mampu menempatkan seramai 30 orang kanak-kanak.

Pelaksanaan projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan menyediakan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun melalui program pendidikan tidak formal sebagai persediaan sebelum memasuki Tahun Satu dalam sistem persekolahan formal.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3