LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PEJABAT PASUKAN PROJEK KHAS 2 (PPK2), JKR MALAYSIA DI KUCHING, SARAWAK. | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PEJABAT PASUKAN PROJEK KHAS 2 (PPK2), JKR MALAYSIA DI KUCHING, SARAWAK.

KUCHING – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan telah mengadakan sesi turun padang (turpa) ke Pejabat Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia di Kuching, Sarawak. Kehadiran beliau bertujuan meninjau operasi serta memantau perkembangan projek-projek infrastruktur kritikal di wilayah Borneo. Turut mengiringi beliau dalam lawatan kerja tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) KKR, YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman.

Dalam sesi tersebut, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan telah diberikan taklimat terperinci mengenai struktur organisasi dan mekanisma operasi PPK2 yang disampaikan oleh Pengarah PPK2, YBhg. Dato’ Ir. Jasmi Wahab. Taklimat tersebut memberi penekanan kepada peranan strategik PPK2 dalam memastikan penyampaian projek-projek persekutuan di Sarawak dan Sabah dilaksanakan mengikut standard kualiti dan garis masa yang ditetapkan demi kesejahteraan rakyat.

YB Timbalan Menteri dalam ucapannya memaklumkan bahawa pada ketika ini, terdapat sebanyak 122 projek pembangunan yang sedang diselia oleh PPK2 merangkumi wilayah Sarawak dan Sabah dengan nilai keseluruhan mencecah RM7.38 bilion. Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) adalah untuk memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada kemudahan infrastruktur yang inklusif dan mampan di kedua-dua negeri tersebut.

Tambah beliau lagi, setakat 8 April 2026, PPK2 telah menerima enam (6) projek baharu dengan nilai kontrak berjumlah RM729 juta. Pecahan bagi projek-projek baharu ini melibatkan satu (1) projek di Sarawak, manakala lima (5) projek selebihnya terletak di Sabah. Pertambahan projek ini membuktikan kepercayaan tinggi terhadap keupayaan teknikal PPK2 dalam menggalas tanggungjawab besar bagi memacu pembangunan fizikal di Malaysia Timur.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0