LAWATAN KERJA MENTERI KERJA RAYA KE JALAN RAYA TIMUR BARAT
GRIK, PERAK - YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya turut mengadakan lawatan kerja ke Jalan Raya Timur Barat (FT004), termasuk lokasi kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lawatan kerja tersebut juga turut menilai keberkesanan kerja penyenggaraan dalam tahun 2025 yang bernilai RM54.092 juta. Kerja-kerja tersebut merangkumi Pavement Conditions Assessment (PCA), penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat termasuk pemasangan 385 tiang lampu solar, serta penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen yang telah meningkatkan tahap keselamatan di jalan tersebut terutama pada waktu malam. Sehingga kini belum ada statistik baru kemalangan maut di jalan tersebut.
Bagi tahun 2026, KKR menerima peruntukan sebanyak RM45 juta untuk
penyenggaraan berkala pavemen bagi jalan persekutuan FT004 tersebut dan sehingga 30 Januari 2026, sebanyak RM40 juta telah disalurkan bagi kerja di 21 lokasi sepanjang laluan tersebut di Negeri Perak.
KKR akan terus komited memperkukuh tadbir urus adil dan telus dalam memperkasa kontraktor tempatan dalam kerja-kerja pembangunan negara serta memastikan setiap peruntukan disalurkan secara berkesan demi menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan inklusif, mampan dan berfokuskan rakyat.
- Log in to post comments