LANCAR, PELBAGAI LORONG, TANPA HENTI: ANPR DI PLUS MENUJU KE ARAH MLFF
PETALING JAYA – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi meninjau pelaksanaan sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) di Lebuhraya PLUS. Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar melalui pelbagai lorong tol tanpa henti.
Sistem ini disokong oleh platform digital bersepadu yang membolehkan pelbagai mod pembayaran tanpa tunai, paparan e-invois, semakan transaksi tol, dan lain-lain perkhidmatan mobiliti. Pendaftaran dilakukan atas talian secara percuma, menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan, dan kaedah pembayaran.
YB Dato Sri Alexander menyatakan bahawa sistem ini adalah langkah penting ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) serta menyokong aspirasi kerajaan dalam transformasi digital dan kesejahteraan rakyat. Beliau turut mengesahkan keberkesanan sistem ini selepas menggunakannya sendiri.
Projek rintis akan bermula Oktober ini di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua sebelum diperluas ke keseluruhan jajaran PLUS. Tambahan pula, teknologi gantri MLFF juga sedang dinilai dan dibangunkan sepenuhnya oleh pakar tempatan tanpa membabitkan kos kepada kerajaan.
Inisiatif ini adalah kerjasama antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS dan syarikat konsesi lebuh raya lain.
- Log in to post comments