KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH AKPS KEPADA KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KERJA RAYA
KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), YBhg. Dato' Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim, di Kompleks Kerja Raya, di sini hari ini.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan kerjasama dua hala antara AKPS dan Kementerian Kerja Raya, khususnya dalam aspek pelaksanaan serta pengurusan projek-projek pembinaan yang berkaitan dengan infrastruktur kawalan sempadan negara.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan projek pembinaan infrastruktur sempadan dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan berimpak tinggi terhadap keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat. Perbincangan turut menyentuh aspek penyelarasan dasar, perkongsian kepakaran teknikal dan pemantapan sistem penyampaian dalam melaksanakan projek pembangunan.
YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim turut merakamkan penghargaan atas inisiatif AKPS dalam memperkukuh pengurusan kawalan sempadan melalui kerjasama dengan kementerian, manakala YBhg. Dato' Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menzahirkan komitmen untuk terus menjalin kolaborasi rapat demi memastikan keberhasilan projek pembangunan yang menyokong keselamatan dan kedaulatan negara.
Kunjungan hormat ini mencerminkan hubungan erat dan usaha berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik demi menjayakan agenda pembangunan negara.
- Log in to post comments