KOMPLEKS MAHKAMAH BAHARU JOHOR BAHRU SIAP, SEDIA PRASARANA KEHAKIMAN LEBIH KONDUSIF | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KOMPLEKS MAHKAMAH BAHARU JOHOR BAHRU SIAP, SEDIA PRASARANA KEHAKIMAN LEBIH KONDUSIF

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku Agensi Pelaksana hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Mahkamah Baharu Johor Bahru, Johor yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina binti Othman Said.

Majlis bersejarah berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, bersama Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan JKR Malaysia.

Kompleks kehakiman berprestij ini dibangunkan di atas tapak seluas 17 ekar di kawasan pentadbiran Kota Iskandar, Iskandar Puteri. Projek yang dimulakan pada 8 Februari 2023 ini berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh kontrak oleh kontraktor utama Cahaya Jauhar Sdn. Bhd. menerusi penerapan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mencatatkan skor IBS melebihi 70 peratus.

Dari sudut reka bentuk, kompleks ini menergapkan gabungan seni bina Tradisional Melayu dan Vernakular, lengkap dengan motif kerawang gambir serta lada hitam yang menterjemahkan identiti negeri Johor. Fasiliti ini menyediakan 24 bilik bicara (1 Mahkamah Khas, 7 Mahkamah Tinggi, 8 Mahkamah Sesyen, dan 8 Mahkamah Majistret), auditorium, perpustakaan, dewan serbaguna, kemudahan OKU dan kenderaan elektrik (EV), serta ruang tahanan Orang Kena Tuduh (OKT) yang selamat dan kondusif.

Penyiapan projek ini menterjemahkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh prasarana perkhidmatan kehakiman negara. Pihak JKR Malaysia akan terus memantau pelaksanaan kontraktor sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defects Liability Period, DLP) bagi memastikan aspek kualiti dan spesifikasi projek kekal terpelihara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7