Kompleks Baharu APMM Tingkatkan Kesiapsiagaan Keselamatan Perairan Wilayah Sarawak Utara | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Kompleks Baharu APMM Tingkatkan Kesiapsiagaan Keselamatan Perairan Wilayah Sarawak Utara

Miri, 20 Oktober 2024 - Hari ini YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah menyaksikan penyerahan projek pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Miri, Sarawak kepada Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) selaku pemilik projek. 

Projek pembinaan Kompleks APMM Daerah Miri, Sarawak ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan prasarana yang canggih dan serba moden serta mempertingkatkan keupayaan dan keyakinan anggota APMM Miri dan perkhidmatan sokongan yang semakin meningkat dalam usaha mempertingkatkan kesiapsiagaan keselamatan perairan Miri dan Wilayah Utara Sarawak amnya.

Bangunan APMM Miri ini direka bentuk dengan kapasiti 95-unit (80 Unit Kelas F dan 15 Unit Kelas D) dimana ia dilengkapi dengan bilik tidur, bilik mandi, stor, ruang tamu dan ruang makan. 

Kemudahan asas yang lain yang turut dibina ialah bangunan pentadbiran, bangunan sokongan, surau, jeti, 179 tempat letak kenderaan, 79 tempat letak motosikal dan lain-lain kemudahan berkaitan.

Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah dipertanggungjawabkan bagi mengawasi dan menyelia projek ini. 

Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 19 Jun 2020 di mana tarikh siap adalah mengikut jadual asal dan sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan oleh Pengarah Projek, PPK2 JKR Malaysia pada 27 September 2024. 

Kos kontrak projek ini ialah RM118.3 juta menggunakan kaedah Reka dan Bina.

Penyerahan Kompleks APMM Miri ini membolehkan pihak KDN dan APMM Miri menempatkan dan seterusnya melakukan pengujian semua peralatan sebelum memulakan operasi secara rasmi yang akan dimaklumkan oleh pihak APMM Miri kelak.

Kementerian Kerja Raya (KKR) ingin merakamkan penghargaan kepada KDN di atas kepercayaan serta kerjasama yang telah diberikan kepada pihak PPK2 JKR, khususnya dalam pengurusan kerja-kerja di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya. 

Segala pengalaman dan pengajaran (experience and lesson learned) amat berguna untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek - projek serupa di masa hadapan ke arah pengurusan projek yang terbaik dari konteks kualiti, kos dan masa. 

KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) sehingga 27 September 2026 di mana pihak JKR akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12