Kolaborasi Malaysia-Singapura Dalam Sektor Pembinaan Dan Infrastruktur Sempena WCS 2024
Singapura, 5 Jun 2024 - Penghormatan yang diberi kepada YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi untuk mengetuai delegasi Malaysia di Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) dan Forum Infrastruktur Asia 2024 (AIF), telah digunakan sebaiknya apabila Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Kementerian Pembangunan Negara Singapura telah mengadakan perbincangan melalui mesyuarat dua hala yang diketuai oleh beliau dan Menteri Pembangunan Negara Singapura (MND), Tuan Desmond Lee di republik itu hari ini.
Pertemuan ini sangat membuahkan hasil kerana telah membuka peluang dan merangsang usaha untuk mewujudkan kerjasama yang berpotensi terutamanya dalam perkembangan infrastruktur dan pembinaan antara Malaysia dan Singapura. Ia juga sebagai pelengkap kepada hasil kunjungan hormat oleh Menteri, Desmond Lee ke pejabat YB Menteri Kerja Raya pada Oktober tahun lepas.
Salah satu perbincangan yang diketengahkan ialah Sistem Penyerahan Produktiviti Elektronik (ePSS) di bawah bidang kuasa Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Kementerian Pembangunan Negara Singapura. Dalam hal ini, BCA telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dari segi perkongsian pengetahuan dan kepakaran mengenai penggunaan ePSS bagi membolehkan CIDB mengukur produktiviti pekerja.
Kedua-dua pihak turut menyatakan sokongan untuk inisiatif seperti Minggu Pembinaan Antarabangsa 2024 (ICW 2024) oleh CIDB, menandakan trajektori dalam menjanjikan kerjasama pada masa hadapan. Ini termasuklah ke arah perkongsian yang lebih kukuh, memudah cara pemindahan teknologi dan meningkatkan kualiti mutu kerja pembinaan.
Mesyuarat dua hala selama 40 minit itu turut memberi tumpuan kepada pelan pelebaran Lebuhraya PLUS antara Senai Utara ke Sedenak di Johor. Pelebaran daripada empat kepada enam lorong ini dijangka menjadikan perjalanan dari Singapura ke Johor lebih selesadan mudah seterusnya memberi impak positifkepada sektor ekonomi dan logistik kedua - dua negara.
YB Menteri berharap, pandangan, hala tuju dan kemajuan berharga yang kedua pihak perolehi daripada penglibatan yang bermanfaat ini akan menyemarakkan lagi usaha seterusnya membuka jalan kepada dialog, kerjasama dan kerjasama yang penting pada masa hadapan.
- Log in to post comments