KKR TERUSKAN PEMERKASAAN KONTRAKTOR KECIL MELALUI PROGRAM PENYELENGGARAAN JALAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR TERUSKAN PEMERKASAAN KONTRAKTOR KECIL MELALUI PROGRAM PENYELENGGARAAN JALAN

KOTA KINABALU – YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya hadir merasmikan Majlis Tawaran Cabutan Undi Kerja Program Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Sabah Tahun 2026, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang inklusif serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Bagi tahun 2026, Kementerian Kerja Raya memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan 178 kerja penyelenggaraan jalan yang merangkumi kerja Berkala Pavemen dan Berkala Bukan Pavemen di Jalan Persekutuan Negeri Sabah. Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 50 kerja yang dilaksanakan pada tahun 2025, sekali gus memperluaskan peluang penyertaan kontraktor kecil tempatan kelas G1 hingga G4.

Skop kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan merangkumi kerja-kerja pavemen seperti mill & pave, tampalan setempat berskala besar (localised heavy patching), kerja lapisan semula (overlay) serta pembinaan semula jalan di lokasi yang dikenal pasti mengalami kerosakan serius. Selain itu, kerja-kerja bukan pavemen turut melibatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya termasuk pengecatan garisan jalan, pemasangan papan tanda, pembaikan roadkerb serta penambahbaikan sistem perparitan bagi memastikan aliran air yang baik dan mengurangkan risiko kerosakan jalan.

Pelaksanaan projek ini dilaksanakan secara telus melalui proses cabutan undi yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Cabutan Undi (JCU) serta dipantau secara rapi oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah. YBhg. Dato’ Seri KSU turut mengingatkan agar kontraktor yang berjaya tidak melakukan kerja secara subkontrak, sebaliknya melaksanakan sendiri skop kerja yang telah ditawarkan bagi memastikan kualiti kerja, pematuhan kepada syarat kontrak serta keberkesanan pelaksanaan projek dapat dikekalkan. 

Penilaian prestasi kontraktor turut dijadikan asas pertimbangan peluang kerja pada masa hadapan, dengan penegasan bahawa tiada kompromi terhadap aspek kualiti, kos, tempoh siap dan keselamatan, selaras dengan aspirasi Program MYJalan KKR.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0