KKR TERIMA PENARAFAN PLATINUM - CEMERLANG DALAM PENGURUSAN ADUAN AWAM 2025
PUTRAJAYA - Kementerian Kerja Raya telah berjaya meraih Anugerah Penarafan ‘Platinum’ daripada Biro Pengaduan Awam (BPA) atas kejayaan dalam Sesi Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Kementerian Tahun 2025.
Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Kementerian Tahun 2025 anjuran Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri telah berlangsung hari ini dan disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Pada majlis tersebut, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha KKR, telah hadir untuk menerima anugerah berprestij ini yang menjadi bukti komitmen KKR dalam memperkukuh kecemerlangan pengurusan aduan awam. Turut hadir, YBhg. Dato' Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KKR.
Majlis penarafan ini bertujuan memberi pengiktirafan serta menjadi pemangkin semangat kepada para pengurus aduan yang telah berusaha gigih memastikan pengurusan aduan dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Ia juga menjadi platform bagi memupuk budaya persaingan sihat antara kementerian, di samping menggalakkan inovasi dalam memperkasakan sistem penyampaian aduan, sekali gus memberi impak positif kepada kualiti perkhidmatan awam serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.
Sesi Naziran Pengurusan Aduan Awam telah berlangsung pada bulan Julai 2025 melibatkan lawatan Jawatankuasa Panel Penilai ke semua kementerian bagi menilai pematuhan tatacara pengurusan aduan awam.
Dengan pengiktirafan yang diterima, Kementerian Kerja Raya komited untuk terus memperkukuh sistem pengurusan aduan awam agar dilaksanakan dengan lebih berkesan, telus dan responsif.
Kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga kementerian untuk mengekalkan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan, sekali gus memperkukuh keyakinan serta meningkatkan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
- Log in to post comments