KKR PERKUKUH TINJAUAN AKADEMIA DAN INDUSTRI BERSAMA UNIVERSITI AWAM DI PUSAT RUJUKAN JALAN NEGARA (PRJN) | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR PERKUKUH TINJAUAN AKADEMIA DAN INDUSTRI BERSAMA UNIVERSITI AWAM DI PUSAT RUJUKAN JALAN NEGARA (PRJN)

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Perancang Jalan (BPJ) hari ini telah menganjurkan Program bersama Universiti Awam ke Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN) sebagai platform perkongsian ilmu, teknologi serta pendedahan berkaitan pembangunan dan pengurusan infrastruktur jalan raya negara kepada para pelajar institusi pengajian tinggi awam.

Program yang dirasmikan oleh YBrs. Ir.  Mohd Fairuz bin Muhamad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Jalan, Kementerian Kerja Raya. Program yang berlangsung di Bilik Tanjung, Kementerian Kerja Raya itu melibatkan penyertaan beberapa universiti awam antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pelbagai sesi pembentangan teknikal telah diadakan melibatkan topik berkaitan sektor jalan raya dan pengangkutan negara seperti Malaysian Trip Generation (MyTripGen), Intelligent Transportation Systems (ITS), Highway Network Development Plan (HNDP), Road Traffic Volume Malaysia (RTVM) serta Road Accident Management System (RAMS).

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan kajian-kajian in-house BPJ yang memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai perancangan jalan dan pembangunan sistem pengangkutan negara secara mampan dan berteknologi tinggi.

Bagi menjadikan program lebih interaktif dan menarik, beberapa aktiviti kuiz individu serta aktiviti berkumpulan turut diadakan bagi menguji kefahaman peserta terhadap topik yang dibentangkan sepanjang program berlangsung.

Program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk mengadakan lawatan ke fasiliti Pusat Rujukan Jalan Negara bagi melihat secara lebih dekat fungsi, peranan dan teknologi yang digunakan dalam pengurusan data serta perancangan jaringan jalan raya negara.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara pihak akademia dan kerajaan, selain melahirkan generasi profesional masa depan yang lebih memahami keperluan pembangunan infrastruktur negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3