KKR PACU EKOSISTEM PEMBINAAN PINTAR DAN DATA INTEGRASI JALAN NASIONAL DI KOTA KINABALU | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR PACU EKOSISTEM PEMBINAAN PINTAR DAN DATA INTEGRASI JALAN NASIONAL DI KOTA KINABALU

KOTA KINABALU - Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menganjurkan Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia Tahun 2026 di Kota Kinabalu dari 19 hingga 21 Julai 2026. Program tahunan yang dihadiri oleh 140 peserta daripada pengurusan tertinggi dan pegawai teknikal ini bertujuan untuk membincangkan isu utama serta hala tuju pembangunan infrastruktur negara. Pengisian program memfokuskan kepada amalan terbaik projek mega nasional seperti ECRL, cabaran fasa kritikal Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, serta kepentingan integrasi digital dalam penyelenggaraan aset demi keselamatan rakyat.

Bertemakan "Game Changer Pembinaan: Memperkasa Pendigitalan dalam Ekosistem Pembinaan Pintar", program ini menekankan transformasi sektor pembinaan daripada kaedah konvensional kepada digitalisasi. Penggunaan teknologi pembinaan dan bahan mesra alam, seperti gabungan Industrial Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM), disasarkan mampu mengurangkan kesilapan reka bentuk, mengoptimumkan kos, dan mengurangkan sisa binaan. Langkah ini sekali gus bertujuan mengubah imej sektor pembinaan daripada pasaran 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) kepada 1D (Dignified) yang memberikan ruang perkembangan untuk pekerja tempatan.

Program ini turut menyaksikan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKR dengan JKR Sabah dan JKR Sarawak bagi penggunaan premis kerajaan negeri untuk penubuhan Makmal MyBIM Malaysia. Penubuhan makmal yang dilengkapi perkakasan dan perisian BIM bertaraf teknologi pemodelan 3D ini bertujuan menyokong koordinasi reka bentuk dan pembinaan secara bersepadu. Langkah ini membolehkan simulasi projek dibuat secara maya bagi mengurangkan ralat, menjimatkan perbelanjaan, serta mempercepatkan penyerahan projek kerajaan sebelum pembinaan fizikal bermula.

Selain itu, Sesi Menandatangani Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) turut dilaksanakan bagi memperkukuh kecekapan dan akauntabiliti pengurusan data aset jalan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan. Inisiatif ini penting kerana pemilikan jalan raya di Malaysia dikawal selia oleh pelbagai agensi; sebagai contoh, Sabah merekodkan sepanjang 20,323.402 km jalan negeri di bawah selian kerajaan negeri dan 1,637.944 km jalan persekutuan di bawah seliaan JKR Malaysia. Melalui kerjasama DDJ ini, semua pihak akan berkongsi rekod 21 kategori data aset jalan yang sama pada satu platform bersepadu.

Kerjasama strategik DDJ bersama Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRUS) serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) menjadi penggerak utama dalam memastikan data aset jalan di Sabah lengkap dan terkini. Usaha ini merupakan asas transformasi untuk perancangan dan penyenggaraan infrastruktur yang lebih sistematik menggunakan Predictive Analytics serta menyokong sistem Accrual Budgeting. Menjelang tahun 2030, program di bawah agenda MyJalan ini mensasarkan sekurang-kurangnya 80% data aset jalan negara direkodkan bagi merealisasikan aspirasi "Satu Data, Satu Standard, Satu Ekosistem Data Jalan Nasional".

 


 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4