KKR JULANG TIGA PENGIKTIRAFAN UTAMA DI MAJLIS PENGIKTIRAFAN REFORMASI KERENAH BIROKRASI (RKB) 2026
PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus melakar prestasi cemerlang dalam memacu transformasi penyampaian perkhidmatan awam apabila berjaya merangkul tiga (3) pengiktirafan utama dalam Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis gilang-gemilang anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN). Turut hadir menyaksikan detik bersejarah ini ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, serta Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian.
Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diwakili oleh YBhg. Dato' Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR selaku Chief Reform Officer (CRO).
KKR telah menerima tiga sijil iaitu:
- Sijil bagi kategori Pengiktirafan Projek Berpotensi Tinggi untuk Projek RKB KKR Tahun 2025 bertajuk Meningkatkan Kecekapan dan Akauntabiliti Pengurusan Data Jalan di Malaysia oleh Bahagian Dasar dan Antarabangsa (BDA).
- Sijil bagi kategori Pengiktirafan Projek RKB Berimpak Tinggi untul Projek RKB KKR Tahun 2025 bertajuk Mempercepat Proses Kelulusan Laporan Verifikasi Kilang dan Produk di Luar Negara oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
- Sijil Penghargaan Khas KSN bagi Kementerian yang mencapai bilangan Projek RKB siap tertinggi. KKR secara rasminya telah berjaya menyelesaikan 15 projek RKB sejak tahun 2024.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua warga KKR dan agensinya terutama pasukan Projek RKB KKR yang telah bekerja keras menjayakan agenda reformasi ini.
Demi Kearah Kesejahteraan Rakyat
- Log in to post comments