KETUA MENTERI SABAH DAN MENTERI KERJA RAYA MALAYSIA RASMI MAJLIS PECAH TANAH KAMPUS ABM WILAYAH SABAH DI PAPAR | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KETUA MENTERI SABAH DAN MENTERI KERJA RAYA MALAYSIA RASMI MAJLIS PECAH TANAH KAMPUS ABM WILAYAH SABAH DI PAPAR

PAPAR - Hari ini Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, bersama Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Beringgis, Papar menandakan bermulanya sebuah pembangunan ikonik yang bakal menyediakan peluang lebih besar untuk belia Sabah menceburi kerjaya berkemahiran tinggi dalam sektor binaan. 

Projek bernilai RM130.6 juta ini bakal menjadi kampus ABM termoden dari segi infrastruktur dan fasiliti di negara ini, melambangkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam melahirkan lebih ramai belia tempatan berkemahiran tinggi dalam industri pembinaan.

Kampus baharu ABM Wilayah Sabah akan dibangunkan di atas tapak seluas 34 ekar dengan fasiliti moden yang merangkumi blok akademik, bengkel latihan, asrama, kompleks sukan, surau serta kemudahan digital berteknologi tinggi. Direka berteraskan konsep ekokampus, kampus ini bukan sahaja menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan lestari tetapi juga mampu menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa. Peningkatan ini dijangka melonjakkan kapasiti latihan belia sebanyak 73% dan personel binaan sebanyak 39% berbanding kemudahan sedia ada.

ABM Wilayah Sabah mula beroperasi pada tahun 2001 dan sejak itu telah melatih lebih 196,000 anak jati Sabah dalam pelbagai bidang kemahiran. Tahun ini sahaja, lebih 4,000 belia dan 3,000 personel binaan telah mendapat manfaat daripada latihan ABM Wilayah Sabah dan CIDB Tech dengan 85 peratus daripada graduan berjaya memperoleh pekerjaan. 

Antara bidang yang paling menonjol termasuk scaffold erection, gas pipe fitter dan welding, operasi jentera, elektrik, penyaman udara, perpaipan serta bidang berkaitan Industrialised Building System (IBS). Permintaan tinggi terhadap latihan ini, termasuk daripada sektor minyak dan gas yang memerlukan kemahiran kimpalan membuktikan bahawa ABM Wilayah Sabah mampu melahirkan tenaga kerja bertauliah yang relevan dan berdaya saing di pasaran pekerjaan tempatan dan antarabangsa.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6