KERJASAMA STRATEGIK INFRASTRUKTUR DAN JALAN RAYA PACU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-UKRAINE
KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Nadolenko Hennadii, bagi membincangkan pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Pertemuan ini memberi tumpuan khusus kepada kerjasama strategik dalam sektor infrastruktur, merangkumi aspek pembangunan dan penambahbaikan rangkaian jalan raya serta pembinaan lebuh raya demi meningkatkan kesalinghubungan sistem pengangkutan negara.
Dalam sesi tersebut, TYT Dr. Nadolenko Hennadii turut menekankan cadangan penglibatan aktif syarikat pembinaan dari Malaysia dan Ukraine sebagai rakan strategik yang berdaya saing. Fokus utama kolaborasi ini adalah untuk memacu perkongsian kepakaran teknikal, pemindahan teknologi pembinaan moden, serta penerokaan peluang pelaburan yang berpotensi melonjakkan kualiti industri infrastruktur di kedua-dua belah pihak.
Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen bersama ke arah pembangunan mampan serta pemerkasaan kapasiti industri tempatan. Kerjasama erat ini diyakini bakal membawa manfaat jangka panjang yang signifikan, bukan sahaja dalam merangsang pertumbuhan ekonomi, malah memperkukuh jalinan diplomatik dan kemajuan infrastruktur awam bagi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
- Log in to post comments