KEMENTERIAN KERJA RAYA MENYOKONG DASAR PELEPASAN KARBON DENGAN PENYERAHAN 3 PROJEK SIAP PEMASANGAN SISTEM FOTOVOLTA SURIA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KEMENTERIAN KERJA RAYA MENYOKONG DASAR PELEPASAN KARBON DENGAN PENYERAHAN 3 PROJEK SIAP PEMASANGAN SISTEM FOTOVOLTA SURIA

SHAH ALAM, 24 FEBRUARI 2025 – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyokong Dasar Kerajaan berhubung pelepasan karbon sifar bersih (net zero emission) menjelang tahun 2050 ke arah merealisasikan Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap -NETR) menerusi pelaksanaan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria Tersambung Grid di Bangunan Kerajaan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN), Wisma Pertahanan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor. 

Projek berteknologi hijau ini diterajui oleh Kementerian Ekonomi selaku pemilik projek, manakala Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), JKR Malaysia dan SEDA Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana. Pelaksanaan projek ini selaras dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) yang diperkenalkan Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Malaysia di samping memastikan penjimatan penggunaan elektrik. Skop utama projek ini melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem Solar Photovoltaic (PV) atas bumbung (roof-top) bangunan dan parkir kereta.  

Jumlah kapasiti pemasangan Sistem Fotovolta Suria di Bagunan Kerajaan tersebut adalah sebanyak 1.51 MegaWatt Peak dengan potensi penjanaan tenaga elektrik 1.85 GigaWatt hour (GWh) setahun bersamaan dengan pengurangan gas karbon 1,430 tan metrik setahun. Anggaran penjimatan bil elektrik Kerajaan pula dijangka sebanyak RM675,000.00 setahun, merupakan penjimatan segera yang bakal dinikmati oleh Kerajaan dalam bentuk pengurangan perbelanjaan kos utiliti.  

Projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh lapan bulan daripada Tarikh Milik Tapak bagi setiap projek. Sijil Siap Kerja (CPC) pula telah dikeluarkan secara berasingan iaitu pada 28 November 2024 bagi premis KDN, 17 Disember 2024 bagi Wisma Pertahanan Malaysia dan 20 Januari 2025 bagi JKR Selangor. Penyerahan projek ini merupakan sebuah kejayaan dan menjadi penanda aras pelaksanaan projek berteknologi hijau yang dapat memacu inisiatif peralihan tenaga negara. 

Secara keseluruhannya, Kementerian Ekonomi telah memperuntukkan sebanyak RM57.6 juta untuk pelaksanaan projek secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan kapasiti pemasangan 9 MegaWatt bagi Bangunan Kerajaan di Semenanjung Malaysia. Penjanaan tenaga daripada projek ini dijangka dapat menghasilkan 11 GigaWatt hour (GWh) setahun dan dijangka Kerajaan akan menikmati penjimatan bil elektrik hingga RM4 juta setahun.  

Kementerian Kerja Raya (KKR) merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi kerana kepercayaan yang diberikan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Kerjasama menerusi konsep whole government approach yang telah terjalin ini berupaya mempertingkatkan kelestarian alam sekitar, di samping mempercepat peralihan tenaga yang saksama. 

KKR menyeru pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) mulai tarikh CPC dikeluarkan. KKR selaku peneraju infrastruktur negara komited dalam melaksanakan inisiatif/ projek berteknologi hijau bagi manfaat kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0