KEM PARADISE KOTA BELUD PACU PEMBANGUNAN PERTAHANAN NEGARA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KEM PARADISE KOTA BELUD PACU PEMBANGUNAN PERTAHANAN NEGARA

KOTA BELUD – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Haji Ahmad Maslan hari ini mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembinaan Kem Paradise, bagi meninjau kemajuan projek infrastruktur pertahanan negara yang sedang giat dilaksanakan di daerah ini.

Projek bernilai RM179.7 juta ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh Ilmiah Perdana Sdn Bhd sebagai kontraktor utama, dengan kerjasama Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana.

Projek ini bermula pada 2 Mei 2024 dan kini berjalan lebih awal lima hari daripada jadual, dengan kemajuan fizikal mencatatkan 10.26%. Tarikh siap yang disasarkan adalah pada 4 Ogos 2027.

Dibina di atas kawasan seluas 100 ekar, projek ini akan menempatkan Kem 5 Briged dan Kem 19 RAMD.

Ia merangkumi 42 komponen bangunan termasuk bangunan pentadbiran, blok teknikal, blok kediaman, fasiliti sokongan, serta infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan sistem kawalan keselamatan.

Setelah siap sepenuhnya, projek ini dijangka meningkatkan keanggotaan tentera dari 311 anggota (32 pegawai dan 279 anggota lain-lain pangkat) kepada 1,148 anggota (69 pegawai dan 1,079 anggota lain-lain pangkat).

Peningkatan ini bakal memperkukuh kesiapsiagaan pasukan keselamatan di kawasan Pantai Barat Sabah.

Selain menyokong keperluan pertahanan negara, projek ini turut memberi limpahan 

ekonomi kepada penduduk setempat melalui peluang pekerjaan, perniagaan serta pembangunan kawasan sekitar.

KKR menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap projek ini akan siap mengikut jadual, sekali gus menyediakan kemudahan moden, mesra operasi dan mampan untuk anggota keselamatan negara, di samping meningkatkan kesejahteraan rakyat di Kota Belud dan sekitarnya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0