JKR NEGERI SELANGOR BERJAYA MENINGKATKAN PENCAPAIAN PROJEK PEMBANGUNAN 2024 DAN BERILTIZAM MEMACU PROJEK PEMBANGUNAN PADA TAHUN 2025
SHAH ALAM, 23 JANUARI 2025 - YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya telah membuat lawatan kerja rasmi ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor bagi mendapat penerangan berhubung pencapaian pembangunan tahun 2024 dan perancangan pembangunan bagi tahun 2025.
Sebanyak 20 projek Persekutuan telah dikenal pasti bagi tahun 2025 di bawah JKR Selangor meliputi pembinaan bangunan baru dengan kos bernilai RM223.73 juta dan tujuh (7) projek penyenggaraan bangunan melibatkan kos bernilai RM 28.97 juta. Kini, kesemua 27 projek ini berada di peringkat pra-kontrak.
JKR Selangor juga sedang melaksanakan 49 projek Persekutuan dengan kos bernilai RM1.097 bilion yang kini berada pada peringkat pembinaan. Projek-projek ini merangkumi tiga (3) projek jalan melibatkan kos bernilai RM40.326 juta, 41 projek pembinaan bangunan dengan kos bernilai RM1.021 bilion, satu (1) projek penyenggaraan bangunan dengan kos bernilai RM 2.069 juta, dua (2) projek cerun melibatkan kos bernilai RM2.51 juta, satu (1) projek mekanikal dengan kos bernilai RM2.4 juta dan satu (1) projek elektrikal melibatkan kos bernilai RM28.17 juta.
YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya juga mengambil perhatian mengenai laporan pencapaian prestasi cemerlang JKR Selangor di sepanjang tahun 2024. Pada tahun 2024, JKR Selangor berjaya menyerahkan 261 bilangan projek dengan kos keseluruhan bernilai sebanyak RM627.36 juta. Kejayaan ini meliputi 12 projek pembinaan bangunan dengan kos bernilai RM429.11 juta, 246 projek penyenggaraan bangunan dengan kos bernilai RM147.95 juta dan tiga (3) projek jalan dengan kos bernilai RM50.30 juta. JKR Selangor turut berjaya melaksanakan 345 bilangan kerja-kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan sepanjang 1,015.168 kilometer dengan prestasi perbelanjaan mencapai RM242.36 juta atau 99.9%.
Peruntukan besar yang diluluskan bertujuan untuk memastikan infrastruktur di Negeri Selangor terus berada pada tahap terbaik, berdaya tahan, mapan dan inklusif sesuai dengan Hala Tuju KKR 2025 serta selaras dengan mengikut kerangka Malaysia MADANI. JKR Selangor menyatakan komited untuk terus mempergiatkan pelaksanaan projek–projek yang dirancang mengikut jadual dan berusaha memastikan pencapaian sasaran Sifar Projek Sakit demi kesejahteraan rakyat.
- Log in to post comments