JKR MALAYSIA TERIMA ASET LAUNCHING NOSE BAGI PERSEDIAAN MENGHADAPI MONSUN TIMUR LAUT (MTL) | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

JKR MALAYSIA TERIMA ASET LAUNCHING NOSE BAGI PERSEDIAAN MENGHADAPI MONSUN TIMUR LAUT (MTL)

SHAH ALAM -Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama-sama YBhg. Dato’ Sri Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya hari ini telah menghadiri Majlis Penyerahan Kelengkapan Launching Nose Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

Sebagai persediaan dalam menghadapi cabaran Monsun Timur Laut (MTL), Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi JKR Malaysia telah bersedia dengan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau lebih dikenali sebagai Jambatan Bailey. Sehingga kini, 2,550 kaki panjang yang ditempatkan di tujuh (7) buah stor di beberapa Negeri di Semenanjung Malaysia untuk digerakkan ke lokasi bencana apabila diperlukan.

Launching Nose ini merupakan komponen penting dalam operasi pemasangan JPKB yang berfungsi sebagai panduan dan pemula yang membolehkan keseluruhan struktur jambatan ditolak merentasi sungai tanpa memerlukan sokongan pertengahan. Ia merupakan peralatan yang direka untuk meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan proses pemasangan jambatan sementara di lokasi-lokasi infrastruktur jalan raya dan jambatan yang terjejas akibat bencana atau kerosakan kritikal.

Oleh itu, perolehan 12 set komponen Launching Nose bernilai RM21.0 juta telah diagihkan kepada sembilan (9) JKR Negeri iaitu JKR Negeri Sembilan, JKR Pahang, JKR Perak, JKR Kedah, JKR Terengganu, JKR Kelantan, JKR Melaka, JKR Selangor dan JKR Johor. Melalui perolehan ini, inventori Jambatan Bailey dapat dipastikan mencukupi di setiap stor JKR Negeri, di samping menjamin tindak balas yang pantas dan berkesan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Jambatan Bailey bukan sahaja menawarkan solusi yang cepat, efisien, dan kos efektif berbanding kaedah konvensional, malah ia juga dapat memastikan proses pemulihan dan pembinaan semula jambatan dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang lebih singkat terutamanya di kawasan yang terputus hubungan.

KKR dan JKR Malaysia telah mengambil langkah kesiapsiagaan rapi di seluruh negara. Ini termasuk pemeriksaan menyeluruh ke atas jalan persekutuan, jambatan dan cerun, terutama di kawasan berisiko tinggi. Dalam pada itu, Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) juga telah diaktifkan di seluruh negara dan beroperasi mengikut peringkat situasi bencana.

JKR Malaysia sentiasa komited dalam memastikan aset dan infrastruktur awam sentiasa berada dalam keadaan yang optimum untuk kegunaan orang awam, selaras dengan aspirasi Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan dalam agenda memperkukuh jaringan jalan raya yang efisien, inklusif dan mampan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0
0
0