JKR GREENDAY 2025: MEMPERKUKUH USAHA KE ARAH PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR LESTARI
PUTRAJAYA – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, telah menyempurnakan Program JKR Greenday 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Siantan, Putrajaya hari ini.
Program dwitahunan ini berfungsi sebagai wadah strategik dan platform perkongsian bagi memperkukuh kerjasama antara pihak berkepentingan utama industri pembinaan. Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat mengenai konsep Pembangunan Mampan (Sustainable Development), di samping memupuk budaya inovasi dan kelestarian dalam sektor pembinaan negara.
Bertemakan “Green Generation: Empowering Change”, Program JKR Greenday 2025 telah menarik penyertaan lebih 300 peserta dan menampilkan lapan orang penceramah jemputan daripada pelbagai sektor. Program ini turut disertai oleh rakan strategik dan organisasi lain yang menyokong pelaksanaan inisiatif hijau melalui pameran, sesi interaktif dan perkongsian pengalaman industri.
Acara turut diserikan dengan Majlis Penyerahan Sijil pH JKR kepada 12 projek terpilih sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan kejayaan pasukan Projek JKR yang terdiri daripada kontraktor, perunding dan pelanggan yang berjaya melaksanakan pH JKR dengan keputusan tiga bintang dan ke atas.
Penganjuran JKR Greenday 2025 mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR Malaysia dalam menyokong aspirasi Kerajaan MADANI ke arah pembangunan infrastruktur negara yang mampan, progresif dan berdaya tahan. Usaha ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) serta memperkukuh prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG) sebagai teras utama dalam pembangunan negara yang inklusif dan lestari.
- Log in to post comments