Jelajah Ftroadpedia Zon Timur 3.0 (Hari Pertama) | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Jelajah Ftroadpedia Zon Timur 3.0 (Hari Pertama)

RAUB, PAHANG, 11 OGOS 2022 – Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah mengetuai Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Ogos 2022 menelusuri tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak.

Objektif program adalah bagi meninjau kualiti penyenggaraan Jalan Persekutuan terutama di laluan yang tinggi aduan, selain meninjau kemajuan projek pembangunan semasa serta infra pasca banjir. Jelajah ini turut disertai pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Rakan KKR dan juga wakil media.

Tinjauan pertama adalah lokasi kejadian jambatan runtuh di laluan FT218, seksyen 24.80, Jalan Lama Bentong – Raub yang merupakan laluan utama dari Raub ke Bukit Fraser, Kuala Kubu Bharu dan Hulu Selangor. Kejadian berpunca akibat hujan lebat berterusan pada Februari 2022.

Jambatan berkenaan telah digantikan dengan jambatan sementara iaitu Jambatan Bailey yang mula dipasang pada 24 Februari 2022 dan siap sepenuhnya pada 27 Februari 2022. Pembinaan jalan tuju dua hala ke jambatan tersebut sepanjang 100 meter juga telah siap sepenuhnya pada 4 Mac 2022. Bagi tujuan penggantian jambatan kekal, permohonan telah dibuat dalam RMK-ke 12 dengan anggaran kos keseluruhan RM10 juta.

Lokasi kedua juga melibatkan laluan pasca banjir di Jalan Persekutuan FT08 Seksyen 85.7 Jalan Bentong – Gua Musang, Daerah Lipis, Pahang yang mengalami kejadian cerun runtuh pada Disember 2021. Kerja pembaikan cerun yang digunakan adalah kaedah armour rock site A and site B. Kerja-kerja pembaikan telah bermula pada 20 Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 19 Julai 2022 (6 bulan) dengan jumlah keseluruhan kos pembaikan sebanyak RM4.5juta.

Seterusnya, ahli jelajah FTRoadpedia meninjau projek Menganti Jambatan Sungai Durian, Kuala Krai Kelantan. Projek di laluan FT08 ini telah bermula pada Jun 2021 dan dijangka siap pada Februari 2024. Status kemajuan semasa projek adalah 26.38%. Anggaran kos bagi projek ini adalah RM15.250 juta melibatkan skop kerja pembersihan tapak, kerja tanah, kerja pavemen dan lain-lain. Apabila siap kelak, projek ini dapat membantu penyuraian trafik di kawasan berkenaan.

Ahli jelajah juga telah dibawa meninjau jalan negeri D110 iaitu Jalan Tiong – Pasir Tumboh. Laluan ini telah dicadangkan untuk diwarta menjadi Jalan Persekutuan. Cadangan pewartaan ini telah diluluskan di Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan kali ke 4/2021 pada 10 Mac 2021. Setelah diwartakan secara rasmi kelak, ia akan menjadi pelengkap dan tiada lagi laluan yang terputus (missing link) antara jalan FT03 dan FT209.

Cadangan pewartaan tersebut melibatkan laluan sepanjang 4.83 kilometer bermula di Persimpangan FT209, Jalan Wakaf Che Yeh ke Pasir Hor dan ke persimpangan FT003, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu. Jelajah FTRoadpedia Zon Timur berakhir untuk hari pertama di Negeri Kelantan dan akan melalui laluan Pahang untuk hari seterusnya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
1
2
3
4
5
6
7
8
9