JALAN TUN HUSSEIN ONN, BINTULU CAPAI 89.05 PERATUS, DIJANGKA BANTU ATASI KESESAKAN TRAFIK
BINTULU – Kemajuan Projek Flyover Medan Jaya, Jalan Tun Hussein Onn kini mencapai 89.05 peratus dan terus dipacu ke arah penyiapan bagi meningkatkan kelancaran pergerakan trafik di sekitar Bandar Bintulu.
Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, meninjau kemajuan kerja di tapak projek bernilai RM135 juta yang melibatkan jajaran sepanjang 2.6 kilometer. Hadir sama Ketua Setiausaha Kerja Raya, YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim, Pengarah Kerja Raya Negeri Sarawak, YBhg. Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy anak Morris, serta Pengarah Kanan Cawangan Jalan Jabatan Kerja Raya.
Projek ini merangkumi pembinaan dan naik taraf jalan sehingga lapan lorong dua hala dan enam lorong dua hala, pembinaan sebuah flyover empat lorong dua hala, serta penambahbaikan di Persimpangan Medan Jaya dan Persimpangan Taman Tinggi.
Apabila siap kelak, kemudahan ini dijangka memberi impak positif kepada pengguna jalan raya, khususnya dalam membantu mengurangkan kesesakan pada waktu puncak, meningkatkan keselamatan dan keselesaan, serta mempercepatkan perjalanan di sekitar Bandar Bintulu.
Kementerian Kerja Raya melalui JKR Malaysia dan JKR Sarawak terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan momentum kerja dikekalkan dengan penekanan terhadap kualiti, keselamatan dan pengurusan trafik.
- Log in to post comments