JALAN PERSEKUTUAN FT803 BINTULU KE BAKUN TERUS DIBERI PERHATIAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

JALAN PERSEKUTUAN FT803 BINTULU KE BAKUN TERUS DIBERI PERHATIAN

BINTULU, SARAWAK – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi hari ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim serta Pengarah Kerja Raya Negeri Sarawak, YBhg. Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Is. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy anak Morris mengadakan lawatan tapak ke Jalan Persekutuan FT803 (Jalan Bintulu ke Bakun) bagi meninjau status pelaksanaan serta kemajuan kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan turapan di laluan sepanjang 128.46 kilometer yang menjadi penghubung penting Bintulu ke kawasan Bakun dan sekitarnya.

Bagi tahun 2026, sebanyak RM28.10 juta peruntukan Arahan Kerja (AK) diluluskan bagi penyenggaraan berkala pavemen melibatkan liputan sepanjang 11 kilometer, meningkat berbanding RM6.00 juta pada 2023, RM14.20 juta pada 2024 dan RM14.70 juta pada 2025. Kerosakan turapan yang berpunca antara lain daripada pergerakan kenderaan berat turut ditangani menerusi kaedah Cold In-Situ Recycling (CIPR), Top Up Road Base dan penurapan semula (resurface), selain pemasangan gantry barriers di lokasi strategik bagi mengawal kenderaan melebihi had muatan dan ketinggian.

Bagi penambahbaikan jangka panjang, KKR telah mengemukakan cadangan pembinaan lorong memotong (Overtaking Lane – OTL) di enam lokasi strategik sekitar KM16, KM39, KM49, KM75, KM106 dan KM109, dengan panjang keseluruhan kira-kira 12 kilometer serta anggaran kos RM216 juta untuk pertimbangan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP2, RMKe-13). Cadangan ini mengambil kira keadaan jajaran yang berbukit dan berselekoh, jarak penglihatan terhad serta pergerakan kenderaan berat, di samping kepentingannya kepada lebih 30 rumah panjang dan perkampungan serta akses ke Sungai Asap, Belaga, Hidroelektrik Bakun dan Hidroelektrik Murum.

KKR dan JKR akan terus memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur Jalan Persekutuan di Sarawak melalui penyenggaraan jalan sedia ada serta perancangan penambahbaikan yang bersesuaian demi memastikan rangkaian jalan raya kekal selamat, selesa dan berdaya tahan, sekali gus menyokong mobiliti serta keperluan sosioekonomi rakyat Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5