ISoF 2025 TEGUHKAN PERANAN KEJURUTERAAN FORENSIK DEMI INFRASTRUKTUR SELAMAT DAN SEJAHTERA UNTUK RAKYAT
PUTRAJAYA – Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) Jabatan Kerja Raya telah menganjurkan International Seminar on Forensic Engineering 2025 (ISoF 2025) bertemakan “Smart Solutions, Sharp Insights: Navigating Engineering Challenges through Forensic Excellence” dan telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya. Penganjuran seminar ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh bidang kejuruteraan forensik sebagai asas kepada pembangunan infrastruktur negara yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa kejuruteraan forensik berperanan besar dalam mengenal pasti punca kegagalan struktur, meningkatkan tahap keselamatan awam, mengurangkan risiko bencana, serta memastikan infrastruktur negara lebih kukuh dan tahan lama.
“Kejuruteraan forensik bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah selepas kegagalan berlaku, tetapi yang lebih penting ia mampu mencegah kejadian tidak diingini, melindungi nyawa, dan memastikan setiap sen yang dibelanjakan untuk pembangunan memberi pulangan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa ISoF 2025 sejajar dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) serta aspirasi Malaysia MADANI, yang menitikberatkan pembangunan berasaskan prinsip akauntabiliti, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, seminar ini juga turut menampilkan pakar-pakar di dalam bidang Kejuruteraan Forensik dari dalam dan luar negara. Antara topik penting yang dibincangkan termasuk Geo-forensics, integriti struktur dan konkrit, digitalisasi maklumat, kejuruteraan turapan jalan raya, serta peranan jaminan kualiti dalam amalan kejuruteraan.
Melalui penganjuran ISoF 2025, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengukuhkan peranan sebagai peneraju kejuruteraan forensik di negara ini, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang selamat, berdaya tahan dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat.
- Log in to post comments