INFRASTRUKTUR MODEN TRANFUSI DARAH UNTUK SELURUH WILAYAH UTARA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN MADANI
SUNGAI PETANI, KEDAH - Kementerian Kerja Raya ( KKR ) terus komited dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur kesihatan di Kedah apabila Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini turun padang meninjau kemajuan Projek Pembinaan Pusat Darah Wilayah Utara, Sungai Petani yang sedang giat dilaksanakan.
Projek berimpak tinggi ini dilaksanakan melalui kaedah Reka dan Bina oleh kontraktor MEC Jati Sdn. Bhd dengan kontrak bernilai RM 49.866 juta. Projek ini diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana dengan pengawasan rapi oleh Pasukan Projek Persekutuan JKR Negeri Kedah.
Pembinaan telah dimulakan pada 2 Ogos 2021 dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dengan Certificate of Completion and Compliance (CCC) pada pertengahan Bulan Oktober 2025 yang akan datang.
Pembinaan projek ini melibatkan pembangunan komponen utama iaitu Blok Utama Pusat Darah, Blok Mekanikal dan Elektrikal serta kemudahan-kemudahan lain seperti parkir terbuka, Kafetaria, Pondok Pengawal, Rumah Sampah, Rumah Sisa Buangan Bahan Kimia, Rumah Sisa Bahan Buangan Klinikal, Kolam Takungan, Loji Rawatan Kumbahan, serta kawasan lapang.
Pusat Darah ini akan dilengkapi dengan makmal moden, ruang pendermaan darah mesra pengguna, serta sistem logistik bersepadu untuk memastikan bekalan darah sentiasa cukup, selamat dan berkesan.
Projek ini bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan tabung darah di Wilayah Utara melalui fasiliti yang lebih moden, lengkap dan selesa untuk semua penderma darah dan kakitangan kesihatan.
Selain itu, penyediaan fasiliti kesihatanyang moden dan kondusif ini juga selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI dalam meningkatkan ekosistem perkhidmatan kesihatan negara yang moden, berkualiti danberdaya saing.
Berdasarkan tinjauan hari ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 93% mengikut jadual yang ditetapkan. Tiada isu kritikal dilaporkan dan pihak JKR sentiasa komited memastikan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan mengikut perancangan, kualiti dan spesifikasi yang telah ditetapkan.
- Log in to post comments