Hari Psikologi KKR 2022 Pupuk Kestabilan Minda
KUALA LUMPUR, 18 OKTOBER 2022 - Sambutan Hari Psikologi Kementerian Kerja Raya (KKR) 2022, telah berjaya memupuk semangat kebersamaan dalam pencaknaan dan usaha menjaga kestabilan minda. Perasmiannya disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR bertempat di Dewan Tanjung, Kompleks Kerja Raya.
Sambutan Hari Psikologi KKR disambut setiap tahun bersempena dengan Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental Sedunia, bagi meningkatkan kesedaran dan kepentingan penjagaan kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi diri. Ini juga usaha KKR dalam memastikan setiap warga kerja raya cakna akan kepentingan kesejahteraan psikologi itu sendiri.
Sambutan kali ini telah melibatkan kerjasama antara KKR dengan 15 agensi kerajaan dan swasta dalam merealisasikan tema sambutan pada tahun ini iaitu "Simfoni Keluarga KKR" yang memfokuskan kepada kesinambungan komposisi organisasi dan individu. Kejayaan kerjasama ini membuktikan iltizam KKR dalam menyemai semangat kerjasama dan menggembleng tenaga dalam mencapai satu cita-cita.
Sambutan kali ini juga telah melibatkan lebih 600 pengunjung terdiri dari warga Kerja Raya Malaysia dan agensi berdekatan KKR. Kempen derma darah yang dijalankan oleh Pusat Darah Negara juga telah berjaya mengumpulkan sebanyak 63 beg darah untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang pada Hari Psikologi bagi tahun 2022 ini seperti “Corporate Social Responsibility” (CSR) oleh BPSM dan AKRAB KKR di Rumah Seri Kenangan Seremban pada 19 September 2022 bagi menyantuni insan-insan yang memerlukan bantuan dan sokongan. Semua progam yang diadakan merupakan asas penerapan kepada pembentukan nilai-nilai murni dalam meningkatkan produktiviti diri untuk jangka masa yang panjang.
- Log in to post comments