Hari Integriti Peringkat Kementerian Kerja Raya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Hari Integriti Peringkat Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini telah mengadakan sambutan Hari Integriti Peringkat Kementerian Kerja Raya di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kuala Lumpur. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, dan turut dihadiri oleh YB. Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya.

Bertemakan “Integriti Teras Kejayaan Negara”, sambutan tahun ini menekankan kepentingan nilai integriti sebagai asas utama dalam penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berakauntabiliti. Ia juga menjadi wadah bagi seluruh warga KKR memperkukuh komitmen terhadap budaya kerja berintegriti tinggi selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengekang gejala rasuah dalam sektor awam.

Dalam majlis yang sama, turut dilancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kementerian Kerja Raya 2026–2030, yang berperanan sebagai panduan strategik untuk memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam semua peringkat organisasi. Pelan ini mencerminkan iltizam berterusan KKR dalam memastikan integriti kekal sebagai tunjang utama kecemerlangan perkhidmatan.

Majlis turut dimeriahkan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang yang menyertai Pertandingan Pantun, Sudut Integriti dan Pertandingan Video Pendek sempena Hari Integriti KKR. Program ini bukan sahaja mengiktiraf kreativiti dan komitmen warga kementerian, malah menjadi pemangkin kepada pembudayaan nilai integriti secara menyeluruh dalam organisasi.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0