Hari Inovasi KKR 2021 Secara Maya
Hari Inovasi KKR 2021 Secara Maya
KUALA LUMPUR, 28 OKTOBER 2021 - Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Agensi bagi Tahun 2021 secara dalam talian telah diadakan selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda negara khususnya dalam mentransformasikan sektor awam. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof.
Para pemenang bagi kategori-kategori anugerah inovasi yang telah dipertandingkan turut diumumkan sewaktu sambutan ini diadakan. Unit Integriti johan bagi Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat (AIPP), Bahagian Kewangan pula johan Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK) manakala Bahagian Teknologi Maklumat, LLM johan Anugerah Inovasi ICT (AIICT).
Selain itu, di peringkat agensi terdapat tujuh (7) anugerah di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR), satu (1) anugerah bagi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan dua (2) anugerah bagi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Hadiah berbentuk wang tunai, sijil dan trofi disediakan untuk para pemenang.
Turut diadakan adalah Wawancara Inovasi bersama Ketua Setiausaha KKR dan Ketua Pengarah agensi yang turut ditayangkan secara maya. Tema majlis, “Inovasi Penggerak Organisasi Cemerlang” dipilih sebagai simbolik komitmen berterusan seluruh warga Kerja Raya untuk memastikan hanya perkhidmatan terbaik dan cemerlang diberikan kepada rakyat.
Dalam konteks sektor awam, definisi inovasi membawa maksud sesuatu ciptaan baharu atau penambahbaikan kepada prosedur atau sistem sedia ada yang boleh meningkatkan manfaat nyata dan memberi nilai tambah kepada rakyat atau pengguna boleh dikategorikan sebagai inovasi.
- Log in to post comments