EKVE SEKSYEN 1 DIBUKA RASMI, TOL PERCUMA SEBULAN SEMPENA BULAN KEBANGSAAN
AMPANG – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Sungai Long ke Persimpangan Bertingkat Ampang.
Turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Menteri Besar Selangor, YAB. YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari serta Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim.
Jajaran sepanjang 16.8 kilometer dengan tambahan jalan susur sejauh 8.4 kilometer itu akan dibuka kepada pengguna mulai jam 6 pagi, Sabtu, 30 Ogos 2025.
Bagi meraikan pembukaan lebuh raya baharu serta sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Dato’ Seri Anwar turut mengumumkan pemberian tol percuma selama sebulan, bermula 30 Ogos hingga 29 September 2025.
Seksyen 1 EKVE ini dilengkapi empat persimpangan bertingkat, empat plaza tol, dua hentian sebelah (lay by) serta menghubungkan laluan utama seperti Lebuhraya Kajang-SILK dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE). Ia menjadi sebahagian daripada Sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) yang berfungsi menyuraikan trafik di pinggir Lembah Klang tanpa melalui pusat bandar.
Dengan laluan alternatif ini, masa perjalanan antara Ampang ke Sungai Long–Kajang dijangka dapat dijimatkan sehingga 20 minit berbanding laluan sedia ada.
Pembukaan jajaran ini juga diyakini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di timur Selangor serta kawasan sekitar, khususnya dengan kedudukannya yang strategik menghubungkan bandar-bandar baharu.
Dalam majlis perasmian, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid sekitar Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa, rumah kebajikan, anak yatim, serta penyerahan komputer riba dan kunci perpustakaan awam di Taman Sri Ampang.
Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan EKVE Sdn. Bhd. menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan, mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sepanjang musim cuti perayaan.
- Log in to post comments