Dua Buah Fasiliti Pendidikan Dinaiktaraf Menggantikan Dua Sekolah Yang Telah Usang Dan Daif
Kuching, 11 Oktober 2024 - Hari ini telah berlangsung sesi penyerahan dua (2) buah projek milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah berjaya disiapkan oleh Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) selaku agensi pelaksana bagi projek ini. Majlis Penyerahan ini telah disaksikan bersama oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta Pengurusan Tertinggi dari kedua-dua Kementerian.
Projek pertama (1) yang diserahkan adalah projek pembinaan Bangunan 12 Bilik Darjah yang baharu dan lain-lain kemudahan menggantikan bangunan asal yang telah usang di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki, Padawan, Sarawak. Projek ini telah dimulakan pembinaannya pada 14 April 2022 dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 6 Julai 2024.
Umum mengetahui, SK Jalan Haji Baki, Padawan, Sarawak telah dibina pada tahun 1968 dan terdapat satu (1) bangunan yang menggunakan struktur kayu. Lantaran itu, kerja menaiktaraf sekolah ini telah dilaksanakan selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa kepada guru-guru dan murid-murid.
Hakikatnya, kerja menaiktaraf sekolah ini amat penting kerana sekolah ini menerima permohonan kemasukan murid yang kian meningkat dari setahun ke setahun disebabkan pertumbuhan penduduk di Kampung Haji Baki dan kampung- kampung berhampiran seperti Kampung Stakan, Kampung Batu Perak, Kampung Pasir Putih dan Kem Penrissen.
Pada tahun 2019, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan pelaksanaan projek ini dalam RMK-11 (RP-4) dengan kos bernilai RM18.34 juta. Penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri atau IBS telah diadaptasikan dalam skop pembinaan projek ini dan ianya melibatkan komponen dinding konkrit dan komponen lantai.
Secara ringkasnya, skop rekabentuk projek ini melibatkan sebuah blok pentadbiran dan akademik yang mengandungi dua belas (12) bilik darjah, pejabat guru, bilik rawatan dan pergigian, bilik komputer, perpustakaan, bilik pendidikan seni, bilik sains dan surau. Selain itu, skop kemudahan infra turut dibina dalam projek ini seperti gelanggang terbuka berbumbung, sebuah blok kantin, bilik elektrik, rumah pam, rumah sampah, pondok pengawal, tiang bendera, laluan pejalan kaki berbumbung, tempat letak basikal dan lain-lain kerja berkaitan.
Projek kedua (2) yang berjaya diserahkan pada hari ini ialah projek pembinaan bangunan gantian dan tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg. Paoh, Sarikei, Sarawak. Projek ini telah dimulakan pada 6 Oktober 2022 dan telah siap sepenuhnya pada 5 Oktober 2024. Kos kontrak semasa projek ini adalah RM15.29 juta.
Projek ini turut mengaplikasikan teknologi IBS dan sistem Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam pelaksanaannya dan ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merevolusikan sektor pembinaan ke arah pendigitalan. Elemen IBS yang digunakan untuk projek ini ialah komponen tiang, rasuk, lantai dan kerangka bumbung.
Skop utama projek ini adalah membina sebuah blok asrama dua tingkat baharu untuk pelajar perempuan bagi menggantikan blok asrama sedia ada yang sudah usang dan strukturnya dibina daripada bahan kayu. Selain itu, turut dibina ialah blok akademik tiga (3) tingkat yang merangkumi bilik darjah, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), bengkel Elektrik dan Elektronik, bilik Matematik, bilik Pengurusan Sukan dan Pendidikan Jasmani, rumah guru serta pondok pengawal.
Kesimpulannya, kejayaan menaik taraf prasarana bilik darjah dan asrama mampu meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan kepada semua guru dan pelajar sekolah ini. Langkah ini juga sebagai persediaan bagi memenuhi keperluan kemasukan pelajar yang semakin meningkat, terutamanya apabila Pasukan Gerakan Am Batalion 10 akan beroperasi dalam tempoh dua tahun akan datang dimana lokasinya berhampiran dengan sekolah ini.
KKR ingin merakamkan penghargaan kepada KPM di atas kepercayaan serta kerjasama yang telah diberikan kepada pihak Pasukan Projek Khas 2 JKR, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya. Segala pengalaman dan pengajaran (experience and lesson learned) amat berguna untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek - projek sebegini di masa hadapan ke arah pengurusan projek yang terbaik dari konteks kualiti, kos dan masa.
KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) di mana pihak JKR akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.
- Log in to post comments